PETALING JAYA: INFINITY8, jenama co-working atau ruang kerja bersama tempatan menjangkakan hab utamanya yang terbaharu, INFINITY8 Reserve Sunway Square mencapai penghunian penuh dalam enam ke sembilan bulan akan datang.
Perkara tersebut dipacu oleh lokasinya yang strategik dan menandakan perubahan strategik syarikat daripada pengendali ruang kerja fleksibel kepada penyedia penyelesaian korporat penuh.
Pengasas Bersama INFINITY8, Lee Sheah Liang berkata, pelancaran hab baharu itu hadir selepas tempoh pertumbuhan agresif sepanjang satu setengah tahun lalu, dengan penambahan 131,600 kaki persegi ruang baharu.
Katanya, ini sekali gus meningkatkan rangkaian INFINITY8 kepada 14 cawangan di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Subang Jaya dan George Town.
“Evolusi syarikat mencerminkan komitmen kami untuk menjangkakan keperluan masa depan pekerjaan. Pencapaian ini menggambarkan sejauh mana INFINITY8 telah berkembang sejak permulaan kami di Johor.
“Hari ini, kami bangga menjadi rakan kepada perniagaan dari semua peringkat, menawarkan bukan hanya ruang kerja, tetapi juga penyelesaian korporat dan persekitaran mampan yang mereka perlukan untuk berjaya di Malaysia,” katanya pada sesi bersama media di INFINITY8 Reserve Sunway Square baru-baru ini.
Sejak ditubuhkan lapan tahun lalu di Johor, INFINITY8 telah berkembang daripada konsep co-working kepada ekosistem menyeluruh yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat multinasional yang memasuki pasaran tempatan.
Kini, selain ruang kerja fleksibel, INFINITY8 menyediakan perkhidmatan pengambilan pekerja, penempatan sumber manusia (HR) dan penyelesaian Employer of Record (EOR) yang membolehkan syarikat antarabangsa menubuhkan operasi di Malaysia sehingga enam bulan lebih cepat dengan proses penubuhan secepat satu minggu.
Sheah Liang berkata, hab baharu di Sunway Square itu menjadi cawangan paling berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat, menampilkan penggunaan bahan tempatan dan kitar semula, pod tidur, zon cahaya semula jadi serta sistem pengurangan sisa makanan.
Jelasnya, ini seiring aspirasi Sunway sebagai bandar berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Pembangunan ruang itu selaras dengan matlamat INFINITY8 untuk menawarkan persekitaran kerja masa depan yang mengutamakan kesejahteraan, produktiviti serta kelestarian.
“Dengan komuniti usahawan, PKS dan syarikat besar yang semakin berkembang di empat bandar utama, INFINITY8 kekal fokus membina ekosistem yang menyokong inovasi dan pertumbuhan perniagaan negara,” jelasnya.
INFINITY8 mencatat kadar penghunian 86 peratus setakat September tahun ini. – UTUSAN










