PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah memotong peruntukan pembangunan untuk rakyat di semua kawasan Parlimen sebaliknya hanya menukar kaedah penyaluran dana yang sebelum ini melalui Ahli Parlimen tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut tetap disediakan bagi projek kemudahan rakyat termasuk sekolah, rumah ibadat, sistem perparitan dan keperluan asas lain.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, dakwaan bahawa kerajaan tidak menyediakan peruntukan kepada kawasan berkenaan adalah tidak berasas.
“Ada yang bertanya kerana Ahli Parlimen kita dua-dua ini (Ahli Parlimen Subang dan Petaling Jaya) tengah goyang. Dia goyang sikit, kadang-kadang goyang banyak. Jadi dia kata tidak ada peruntukan. Saya jawab, dalam perjanjian kita sebagai kerajaan, kalau kamu tidak sokong kerajaan, kamu kena buat CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat).
“Tak benar kalau kita kata kita potong peruntukan untuk penduduk Petaling Jaya dan Damansara. Tidak, dengar baik-baik. Saya tidak potong peruntukan kepada rakyat untuk masjid, kuil, kedai, parit dan sekolah, semua kita on. Yang kita tak bagi ialah melalui Ahli Parlimen,” katanya berucap dalam Program ‘Generasi Muda, Suara Baharu’ Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dan Naibnya, Nabil Halimi.
Tambah Anwar, perkara utama ialah memastikan rakyat mendapat manfaat daripada projek pembangunan, bukannya siapa yang menguruskan peruntukan tersebut.
“Rakyat nak projek atau Ahli Parlimen nak projek? Rakyat nak projek.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk ADUN DAP, saya ingin jelaskan bukan sahaja untuk dua Ahli Parlimen ini (Petaling Jaya dan Subang), tetapi Seri Setia, Taman Medan dan Bukit Gasing, semuanya akan diberikan projek seperti yang diluluskan dalam peruntukan lalu.
“Umpamanya Parlimen Subang, ada lagi RM1.6 juta, Parlimen Petaling Jaya, ada RM3 juta. Saya akan pastikan untuk sekolah, Sekolah Kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, untuk rumah ibadat, untuk parit, apa yang diperlukan, kita buat proses secara betul dan kita pilih.
“Jadi, tidak ada asas untuk mana-mana ahli politik mendakwa bahawa wang itu tidak ada. Jawapannya mudah, kita mempunyai peruntukan tersebut. Namun, ia tidak disalurkan kepada anda, sebaliknya diberikan terus kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










