Syarikat pengeluar FA-50 TUDM sertai LIMA 2027, DSA 2028

Syarikat pengeluar FA-50 TUDM sertai LIMA 2027, DSA 2028

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Korea Aerospace Industries (KAI) mengesahkan penyertaan dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA 2027) serta Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2028.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, komitmen awal itu mencerminkan keyakinan berterusan pemain industri global terhadap keupayaan Malaysia sebagai penganjur pameran pertahanan bertaraf antarabangsa.

Katanya, selain KAI, syarikat lain yang mengesahkan penyertaan ialah Pilatus Aircraft Ltd., RUAG, Glenair, Team Defence Australia dan Kallman Worldwide.

“NAICO Malaysia turut mengesahkan penyertaan sebagai rakan kerjasama strategik bagi kedua-dua pameran berkenaan,” katanya hari ini.

LIMA 2027 di jadual berlangsung di Langkawi dari 17 hingga 20 April 2027 dengan penganjuran bersama Global Exhibition & Conference Sdn. Bhd. (GEC), manakala DSA dan NATSEC Asia 2028 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 17 hingga 20 April 2028 di bawah kelolaan DSA Exhibition & Conference Sdn. Bhd.

Menurut kementerian, penyertaan awal itu disahkan hasil susulan siri libat urus strategik yang diadakan sempena penyertaan Malaysia pada Farnborough International Airshow (FIA) 2026.

Katanya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik pertahanan dan aeroangkasa di rantau ini.

“Penyertaan awal yang diterima bagi LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 mencerminkan tahap keyakinan yang semakin kukuh daripada industri pertahanan dan aeroangkasa global terhadap keupayaan Malaysia sebagai penganjur pameran pertahanan bertaraf antarabangsa.

“Perkembangan ini mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua pameran sebagai antara platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan yang terkemuka di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Kementerian berkata, momentum yang diwujudkan menerusi pelancaran LIMA 2027 dan penyertaan Malaysia di FIA 2026 dijangka meningkatkan penyertaan antarabangsa serta membuka lebih banyak peluang pelaburan strategik, kerjasama industri dan pemindahan teknologi yang mampu memperkukuh ekosistem industri pertahanan negara.

Menurutnya, LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 juga akan terus berperanan sebagai instrumen diplomasi pertahanan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa.

“Melalui platform ini, Malaysia dapat memperluas dialog strategik, memudah cara pembangunan keupayaan, menggalakkan kolaborasi industri serta memperkukuh kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan rakan pertahanan.

“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Teras 6 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan memperkasakan ekosistem industri pertahanan negara,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN