KIULU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menggunakan identiti ‘DJB Tambalutku’ bagi memudahkannya mendekati penduduk Kiulu.
Joniston berkata, beliau menggunakan identiti itu sebagai imej yang sentiasa konsisten bersama-sama komuniti setempat sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu.
“Kepentingan kerjasama sebagai rakan kongsi dalam pembangunan di Kiulu akan berterusan jika GRS diberikan mandat kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri 29 November ini.
“Dengan identiti DJB Tambalutku yang saya guna memudahkan mendekati penduduk Kiulu untuk mendengar keluahan mereka untuk diselesaikan,” katanya pada kempen di Pusat Dearah Mengundi (PDM) Kampung Pahu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun penduduk mungkin mempunyai pandangan politik berbeza, namun mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu ingin melihat Kiulu maju secara berterusan.
“Jika wujud perbezaan, lihat saya sebagai tambalut atau kawan anda kerana kita pada dasarnya menginginkan hasil yang sama untuk keluarga, kampung masing-masing dan titik persamaan itu penting.
“Asas yang ada membolehkan kita bergerak maju dengan kerjasama berterusan dan perancangan yang realistik,” katanya.-UTUSAN










