Hasil Sabah 40%: Kerajaan tidak akan rayu keputusan mahkamah

Hasil Sabah 40%: Kerajaan tidak akan rayu keputusan mahkamah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perseku­tuan tidak akan membuat ra­yuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana di­putuskan oleh Mahkamah Ting­gi Kota Kinabalu dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Jabatan Peguam Negara da­lam kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dibuat oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini kerana menghormati prinsip yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Kerajaan Per­sekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.

“Pada mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.

“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan.

“Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974,” katanya.

Jabatan Peguam Negara berkata, selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” katanya.

Pada 17 Oktober lalu, Mah­kamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini berkata, rundingan rasmi akan diadakan segera bagi mencapai penyelesaian yang adil selaras dengan Perlembagaan Persekutuan sebaik sahaja kerajaan ne­geri Sabah yang baharu dibentuk.

Katanya, kerajaan Madani ber­setuju menerima prinsip Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan komited memulakan rundingan rasmi berdasarkan peruntukan tersebut.

“Bila kerajaan tetap (selepas PRN Sabah) sudah dibentuk minggu pertama Disember, saya akan mengarah rundingan dise­gerakan agar penyelesaian adil dapat dicapai.

“Keputusan kerajaan dalam isu ini perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira keupayaan kewangan dan keseimbangan tanggungjawab antara negeri dan Persekutuan.

“Tidak perlu ada pertelagahan kerana kerajaan sudah bersetuju pada dasarnya untuk memulakan rundingan rasmi. Seperti disebut dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, perintah mandamus bermaksud kerajaan mesti memulakan rundingan,” katanya menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu@Aman Begri (GPS-Betong).

Perdana Menteri berkata, buat masa ini kerajaan negeri Sabah masih berstatus interim, justeru, rundingan rasmi belum dapat dimulakan.

Namun katanya, kerajaan Per­­sekutuan komited menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan tersebut dan akan meneliti langkah lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN