Rundingan tuntutan 40 peratus hasil Sabah disegerakan selepas PRN

Rundingan tuntutan 40 peratus hasil Sabah disegerakan selepas PRN

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka dipercepatkan pada minggu pertama Disember selepas pembentukan kerajaan negeri baharu hasil Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan akan menggerakkan rundingan rasmi dengan segera bagi mencapai penyelesaian yang adil selaras dengan Perlembagaan Persekutuan sebaik sahaja kerajaan negeri yang baharu dibentuk.

Katanya, kerajaan Madani telah bersetuju menerima prinsip Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta komited memulakan rundingan rasmi berdasarkan peruntukan tersebut.

“Apabila kerajaan tetap (selepas PRN Sabah) sudah dibentuk yang dijangka minggu pertama Disember, saya akan mengarah supaya rundingan disegerakan agar penyelesaian yang adil dapat dicapai.

“Keputusan kerajaan dalam isu ini perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira keupayaan kewangan serta keseimbangan tanggungjawab antara negeri dan Persekutuan.

“Tidak perlu ada pertelagahan kerana kerajaan sudah bersetuju pada dasarnya untuk memulakan rundingan rasmi. Seperti disebut dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, perintah mandamus bermaksud kerajaan mesti memulakan rundingan,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu@Aman Begri (GPS-Betong) berhubung status keputusan kehakiman tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan sama ada ia akan memberi kesan terhadap perancangan Dasar Ekonomi Madani pada tahun-tahun mendatang.

Perdana Menteri berkata, buat masa ini kerajaan negeri Sabah masih berstatus interim, justeru rundingan rasmi belum dapat dimulakan.

Namun katanya, kerajaan Persekutuan tetap komited menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan tersebut dan akan meneliti langkah lanjut selepas menerima nasihat rasmi daripada Jabatan Peguam Negara.

“Keputusan penghakiman itu baru disiapkan pada Jumaat lalu dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan mereka masih meneliti keputusan berkenaan secara terperinci.
“Oleh itu, saya telah memanggil mesyuarat khas Jemaah Menteri petang ini bagi mendengar terlebih dahulu pandangan rasmi daripada Peguam Negara.

“Kita perlu mengikut proses undang-undang yang betul kerana Peguam Negara adalah penasihat utama kerajaan. Pandangan beliau mesti diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Anwar berkata, rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak sudah dilaksanakan sebelum ini, namun belum mencapai kata putus sehingga satu perjanjian interim dipersetujui.

“Rundingan telah dimuktamadkan selepas mesyuarat antara saya, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. Namun kerana belum ada keputusan akhir, maka perjanjian interim dipersetujui,” katanya.

Tambah Anwar, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan bahan politik kerana ia turut melibatkan kerajaan terdahulu yang telah memulakan proses rundingan sama.

“Sebelum ini, semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, jumlah bayaran telah dinaikkan daripada RM125 juta kepada RM150 juta.

“Perlu diingat, kerajaan-kerajaan terdahulu juga terlibat dalam proses ini. Maka tidak wajar isu ini dijadikan polemik politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN