ARAU: Seorang graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) terpaksa menerima hakikat melupakan hasrat meraikan detik bersejarah sempena Istiadat Konvokesyen Ke-20 universiti berkenaan selepas dia dan keluarga terkandas di Hat Yai, Thailand berikutan banjir melanda wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, kesedihan Haniswati Rahmat, 25, dari Kluang, Johor itu sedikit terubat apabila Unimap memberi jaminan akan mengadakan slot khas konvokesyen bagi graduan yang terkandas di negara gajah putih tersebut.
Haniswati yang mengambil jurusan Sarjana Muda Komunikasi Media Baru dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Unimap sepatutnya menghadiri konvokesyen tersebut semalam.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pihaknya mengambil maklum keberadaan pelajar atau graduan universiti itu yang terkandas di Hat Yai.
“Mengambil kira kebajikan graduan, maka slot khas konvo untuk graduan yang terkandas di Hat Yai akan dilaksanakan. Bagaimanapun, kita belum menetapkan tarikh slot khas konvokesyen itu,” katanya di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, percutian rakyat Malaysia sempena cuti hujung minggu ke Hat Yai, Thailand bertukar mimpi ngeri dengan ramai yang terperangkap berikutan banjir yang melanda lokasi pelancongan tersebut.
Difahamkan, hampir 4,000 pelancong Malaysia terperangkap di sekitar Songkhla termasuk Hat Yai dengan ramai berkongsi di media sosial bahawa mereka terkandas di hotel tanpa dapat keluar mendapatkan makanan atau bantuan.
Dalam pada itu, Unimap turut mengambil tindakan segera bagi membantu kira-kira 20 pelajar yang terkandas akibat banjir di Hat Yai.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohamad Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pihak universiti melakukan tinjauan segera bagi mengumpul data lengkap membabitkan pelajar dan keluarga mereka.
“Kami turut bekerjasama dengan rakan strategik bagi menyalurkan bantuan kecemasan. Pihak universiti turut menubuhkan kumpulan WhatsApp khas bagi memudahkan komunikasi antara pelajar, waris dan pegawai bertugas. Unimap turut berkongsi nombor telefon pegawai konsulat bagi membolehkan pelajar dan keluarga menyalurkan maklumat,” katanya. – UTUSAN










