Israel reka alasan langgar gencatan senjata, Hamas gesa AS segera campur tangan

Israel reka alasan langgar gencatan senjata, Hamas gesa AS segera campur tangan

PENDUDUK Palestin memeriksa kawasan menempatkan khemah perlindungan yang menjadi lokasi serangan Israel di Gaza City, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kumpulan pejuang Palestin menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata ‘dengan alasan yang sengaja direka dan menggesa pengantara Amerika Syarikat (AS), Mesir serta Qatar untuk segera campur tangan.

Kumpulan itu berkata, Israel bergerak ke barat melepasi garisan kuning, di mana pasukan rejim ditempatkan di Gaza dan sedang mengubah sempadan yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada perjanjian.

“Kami menyeru pengantara untuk campur tangan dengan segera dan mengenakan tekanan bagi menghentikan pelanggaran ini serta-merta.

“Kami juga menuntut agar pentadbiran AS menunaikan komitmennya dan memaksa Israel melaksanakan tanggungjawab, serta menentang cubaan untuk melemahkan gencatan senjata di Gaza,” kata kumpulan Palestin dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai kanan juga menolak laporan dalam Al Arabiya milik Arab Saudi yang mendakwa kumpulan pejuang cuba membatalkan gencatan senjata.

“Israel mereka-reka alasan untuk mengelak perjanjian dan kembali kepada perang pemusnahan, sedangkan mereka yang melanggar perjanjian itu setiap hari dan secara sistematik,” kata ahli biro politik Hamas, Izzat al-Risheq, kepada Quds News Network.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, Israel melanggar gencatan senjata yang ditaja AS sekurang-kurangnya 497 kali sejak ia berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, yang melaporkan dari Gaza City berkata, serangan terbaharu Israel memberikan trauma kepada penduduk Palestin.

“Ini adalah peringatan bahawa gencatan senjata agak rapuh dan sebenarnya keganasan tidak pernah berakhir sama sekali.

“Apa yang berlaku pada kadar yang sangat pantas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kini berubah menjadi corak pembunuhan yang perlahan namun berterusan,” katanya.

Dalam serangan dahsyat pada Sabtu, tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara di seluruh Gaza, mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 penduduk Palestin terbunuh dan mencederakan 87 yang lain.

Saksi berkata, serangan pertama mengenai sebuah kereta di utara Gaza City diikuti oleh serangan di Deir el-Balah dan kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Serangan dron di Gaza City mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 maut dan 20 cedera, menurut Pengarah Urusan Hospital al-Shifa, Rami Mhanna.

Di Deir el-Balah, sekurang-kurangnya tiga orang termasuk seorang wanita maut apabila serangan mengenai sebuah rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN