TUARAN: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memasuki fasa akhir dengan suasana semakin rancak selepas pengundian awal anggota keselamatan berlangsung dua hari lalu.
Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, tumpuan kini terarah kepada calon muda, Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin yang tampil menawarkan pembaharuan kepada hampir 40 peratus pengundi muda di kawasan berkenaan.
Berkelulusan dari sebuah universiti perubatan terkemuka di Rusia, beliau dilihat membawa citra baharu dalam gelanggang politik tempatan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn, yang turun berkempen bersama calon itu berkata, Dr. Shahnon memberi harapan baharu kepada pengundi yang sudah lama menuntut perubahan.
“Saya lihat calon-calon yang diletakkan oleh lawan merupakan calon lama yang sudah selesa dengan keadaan sebegini,” katanya ketika menyertai program walkabout di Kampung Baru-Baru hari ini.
Program turun padang itu melibatkan sekitar 1,200 pengundi, dengan fokus mendengar keluhan penduduk yang sejak sekian lama berdepan isu asas termasuk bekalan air, infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Menurut Bastien, keadaan itu jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memberi mandat kepada kepimpinan baharu.
“Takkanlah keadaan begini dibiarkan. Jauh daripada pembangunan dan terus menghadapi permasalahan asas. Mungkin pemimpin lama ini menganggap beliau akan menang tanpa perlu membawa perubahan nyata,” katanya.
Beliau menambah, pengundi Sulaman kini perlu menghantar mesej jelas bahawa “business no longer as usual”, dan masa depan kawasan itu harus dipacu tenaga dan visi baharu.
“Dr. Shahnon belajar tinggi hingga ke Russia. Mana mungkin mata dan hati beliau sanggup melihat keadaan ini berterusan. Sudah 35 tahun kamu beri peluang. Kini masa untuk generasi baru melaksanakannya,” katanya lagi.
PRN Sabah dijangka menyaksikan persaingan sengit di beberapa kerusi termasuk N.12 Sulaman, dengan faktor pengundi muda menjadi penentu utama keputusan.
Kerusi N12 menyaksikan saingan lima penjuru menyaksikan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga penyandang kerusi itu, akan dicabar oleh empat calon lain selain Dr Shahnon Rizal, iaitu calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Bastien turut mendengar antara rungutan lain di Sabah iaitu soal tambang kapal terbang yang mahal untuk ke Semenanjung.
Dalam hal ini, beliau mahu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan tambang tidak membebankan rakyat. – UTUSAN









