Filem pendek sempena Hari Natal semai perpaduan - Utusan Malaysia

Filem pendek sempena Hari Natal semai perpaduan

SEBUAH filem pendek bertemakan kemanusiaan dan perpaduan bertajuk ‘Memberi Lebih Baik Daripada Menerima’ inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bersempena sambutan Hari Natal.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah filem pendek bertemakan kemanusiaan dan perpaduan bertajuk ‘Memberi Lebih Baik Daripada Menerima’ inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bersempena sambutan Hari Natal tahun ini dijangka mencuri perhatian masyarakat.

Filem tersebut yang menggabungkan elemen komedi, persahabatan dan mesej kasih sayang sejagat itu, menampilkan sekumpulan anak muda berinisiatif membantu mereka yang memerlukan pada musim perayaan.

Lebih istimewa, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut membuat penampilan istimewa dalam filem berkenaan.

Kehadiran beliau bukan sahaja memperkukuh mesej utama mengenai semangat memberi, tetapi menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan nilai perpaduan, empati dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Filem pendek berdurasi kira-kira lima minit itu berkisar mengenai sekumpulan sahabat yang merancang untuk pulang menyambut Hari Natal bersama keluarga namun salah seorang daripada mereka tersalah membuat tempahan dan menyebabkan kesemua tidak dapat pulang ke Sabah dan Sarawak untuk menyambut perayaan tersebut.

Mereka memanfaatkan masa yang ada dengan memberi kegembiraan kepada golongan memerlukan di kawasan kejiranan yang mempunyai rumah anak-anak yatim.

Kemuncak cerita menyiarkan inisiatif mereka di media sosial yang akhirnya mendapat perhatian masyarakat dan turut dikongsi semula oleh Aaron yang menzahirkan penghargaan atas semangat dan keikhlasan mereka.

Filem ini lambang semangat perpaduan dan kasih sesama insan dan inisiatif seperti ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk menggunakan pendekatan kreatif dan digital dalam menyampaikan mesej perpaduan.

Pendekatan menerusi medium filem pendek ini juga membolehkan mesej sampai secara lebih lembut, inklusif dan menyentuh hati, terutama dalam kalangan golongan muda yang aktif di media sosial.

Ia bakal disiarkan di platform digital dan stesen nasional yang dijadual untuk tayangan perdana pada minggu kedua bulan Disember ini di platform media sosial rasmi Aaron, Kementerian Perpaduan Negara, serta Radio Televisyen Malaysia (RTM), sekali gus dijangka dapat mencapai jutaan tontonan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN