KUALA LUMPUR: Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menurut Ewon, beliau mengambil keputusan itu ekoran mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tersebut.
Katanya, beliau percaya Peguam Negara akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan.
“Namun berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di Mahkamah sepertimana dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu.
“Dengan ini, saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, beliau akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin minggu depan untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas halatuju Parti UPKO.
Ewon sebelum ini dilaporkan berkata, beliau sedia melepaskan jawatan menteri jika Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara memaklumkan akan meneliti secara alasan penghakiman tersebut dan mempertimbangkan semua aspek perundangan yang berkaitan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.-UTUSAN










