PETALING JAYA: Hasrat enam warga Malaysia mencari rezeki di luar negara bertukar mimpi ngeri apabila mereka terpedaya dalam sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja sehingga diugut supaya membayar wang tebusan sekiranya ingin kembali ke tanah air.
Ahli keluarga kepada dua mangsa yang ingin dikenali sebagai Noraini, 20-an berkata, adiknya Aiman Haikal, 22, dan sepupunya, Mohd. Azlisham, 22, dijanjikan pekerjaan di Korea dan Singapura namun mereka dihantar ke Kemboja.
Katanya, sindiket menuntut RM65,000 bagi setiap seorang untuk membolehkan mereka pulang.
“Mereka masih muda dan niat asal hanya hendak mencari rezeki. Kami berharap pihak berkuasa dapat bantu bawa mereka pulang.
“Kami hanya tahu lokasi sebenar mereka di Kemboja minggu ini. Mereka diminta bayar pampasan untuk pulang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa, Mohammad Niysak, 80, berkata, anaknya iaitu Faizul Lazim, 27, pada awalnya memaklumkan mahu pergi ke Singapura untuk bekerja, namun dibawa ke Kemboja tanpa pengetahuan keluarga.
Justeru, katanya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada 6 November lalu.
“Kali terakhir anak saya menghubungi saya tiga hari lepas dan menghantar lokasi di lapangan terbang di Kemboja. Kami sekeluarga risau keselamatannya kerana komunikasi sangat terhad.
“Dia kini berada di lokasi yang tidak dapat dipastikan dan setiap panggilan video sangat singkat. Kami berharap pihak berkuasa dapat membantu membawanya pulang dengan selamat,” katanya.
Kakak kepada seorang lagi mangsa, Vedyah Chalini, 36, berkata, adiknya Sharon Rau, 24, berangkat ke Kemboja pada 27 Oktober untuk bekerja di kasino dengan tawaran gaji AS Dollar 1,000 (RM4,132) namun sehingga kini masih belum memulakan tugas.
“Adik maklum mahu balik Malaysia, tetapi ejen suruh bayar RM30,000. Setiap panggilan video hanya beberapa minit. Dia kelihatan tidak sihat dan batuk-batuk.
“Kita juga telah membuat laporan polis di Skudai pada 7 November lalu,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri Kemboja (MOI) bagi menjejaki mangsa.
“Misi utama kami adalah memastikan mangsa dapat dikenal pasti lokasi sebenar dan dibawa pulang dengan selamat ke Malaysia.
“Kami menyeru keluarga lain yang menghadapi kes serupa supaya membuat laporan polis segera supaya tindakan dapat diambil dengan pantas,” katanya. – UTUSAN










