Elak berjamaah jika tidak tahu jamaah solat tamam atau qasar
SOALAN
Semasa singgah di Hentian Rawat dan Rehat (R&R), ada jemaah sedang bersolat. Bagaimana saya hendak sertai solat itu sebab saya tidak pasti sama ada mereka solat tamam atau jamak. Adakah saya boleh berjamaah dengan jamaah tersebut sedangkan saya hanya mahu solat jamak sahaja?
Insan keliru
JAWAPAN: Sekiranya berjamaah dengan orang tidak tahu kedudukan niatnya maka lakukanlah solat sempurna tanpa qasar ada pun solat jamak boleh dilakukan.
Keliru ibu dilamar
SOALAN
Ibu saya seorang ibu tunggal kini didekati seseorang dan lelaki itu ingin melamar ibu saya. Kami adik beradik meragui niat lelaki itu disebabkan ibu saya sudah berusia. Mohon nasihat daripada ustaz.
Milah
Shah Alam
JAWAPAN: Dalam isu ini, anak-anak boleh menasihati ibu agar berhati-hati supaya tidak tertipu dengan lelaki yang berniat tidak baik. Bagaimanapun, pada masa sama tidak boleh menghalangnya jika ibu yakin dan bersetuju mahu membina kehidupan baru.
Elak terpedaya dakwaan produk suci
SOALAN
Saya terbaca produk mesra wuduk di papan iklan di lebuh raya. Bagaimana kita boleh percaya produk tersebut suci?
-Suhana
Kuala Lumpur
JAWAPAN: Produk sedemikian perlu dilihat kepada sesiapa pakar yang menasihatinya. Sekiranya dia pakar yang diiktiraf maka boleh bergantung kepada perakuannya. Namun, jika tidak ada pakar yang memperakui maka elakkanlah.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]










