Bot karam, PATI bayar sehingga RM15,000 untuk mulakan hidup baharu di Malaysia

Bot karam, PATI bayar sehingga RM15,000 untuk mulakan hidup baharu di Malaysia

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemukan hanyut di perairan Langkawi, semalam dipercayai membayar antara RM13,500 hingga RM15,000 kepada sindiket untuk memasuki negara ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mereka yang selamat setelah bot dinaiki karam dipercayai terlebih muatan belayar dari Myanmar ke negara ini sejak sebulan lepas.

“Hasil soal siasat mangsa memberitahu mereka sanggup membayar antara RM13,500 hingga RM15,000 seorang untuk datang ke Malaysia. Mereka bayar kepada sindiket dengan janji untuk dibawa ke negara ini bagi memulakan hidup baharu.

“Ada yang bayar kepada sindiket tersebut sebelum menaiki kapal di negara mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 11 PATI ditemukan pagi semalam termasuk seorang daripada mereka meninggal dunia.

“Polis masih menyiasat modus operandi sindiket ini yang dipercayai menjadikan Langkawi sebagai lokasi transit mereka. Kita akan bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha mencari dan menyelamat PATI berkenaan. Kawalan keselamatan juga diperketatkan untuk mengesan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN