DUN Kelantan: Kerajaan negeri tamatkan kontrak syarikat perlombongan langgar syarat

DUN Kelantan: Kerajaan negeri tamatkan kontrak syarikat perlombongan langgar syarat

MOHAMED Fadzli Hassan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sudah menamatkan beberapa perjanjian pajakan dan kerjasama dengan syarikat perlombongan yang didapati gagal mematuhi syarat serta garis panduan sebagaimana ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia dibuat selepas kerajaan negeri bersama PKINK menjalankan semakan dan penilaian secara menyeluruh terhadap prestasi serta tahap kepatuhan syarikat berkaitan perjanjian tersebut.

Katanya, proses tersebut turut mengambil kira Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). 

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap impak alam sekitar dan sudah ada beberapa syarikat telah ditamatkan kontrak kerana melanggar syarat,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini hari ini mengenai pencemaran Sungai Kelaik dan Seting serta serbuan aktiviti perlombongan emas haram di Gua Musang.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli turut meminta ADUN Galas untuk mengemukakan maklumat berkaitan dua syarikat tanpa nama yang disebutkan berkaitan dengan perkara tersebut.

Katanya, tindakan itu bagi membolehkan kerajaan membuat semakan sama ada ia sudah diambil tindakan atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, ADUN Temangan itu memberitahu, sehingga kini kerajaan negeri melalui PKINK telah menubuhkan beberapa usahama Pajakan Melombong dengan syarikat-syarikat yang beroperasi secara sah dan berkuat kuasa.

Katanya, syarikat-syarikat terlibat ialah CMNM Mining Group Sdn. Bhd, Prima Warisan Venture Sdn. Bhd, Fortune Minerals Resources, Sri Damar Mine Trading Sdn. Bhd dan Uzie Gold Mining Sdn. Bhd.

“Kerajaan negeri sentiasa memastikan semua syarikat ini mematuhi peraturan Pajakan Melombong yang telah ditetapkan, melaksanakan operasi dengan penuh tanggungjawab, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta kesejahteraan komuniti setempat. 

“Pemantauan berterusan turut dijalankan bagi memastikan setiap aktiviti perlombongan dijalankan secara selamat, mampan, dan mematuhi piawaian alam sekitar,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN