PADANG BESAR: Murid-murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit di sini cemas apabila sebuah blok bangunan yang antaranya menempatkan lapan bilik darjah musnah dalam kebakaran hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi itu tidak melibatkan kemalangan nyawa dengan hanya seorang pekerja pembersihan mengalami kecederaan iaitu melecur 30 peratus.
Murid-murid pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua mereka turut dipindahkan ke dewan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Penolong Pengarah Operasi bomba negeri, Mohamad Azhar Yussof berkata, susulan kejadian, blok bangunan itu musnah 90 peratus.
Beliau berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, pihaknya turut mendapati seorang lelaki berusia sekitar 20-an mengalami kecederaan ringan dengan tahap melecur 30 peratus.
“Mangsa yang merupakan pekerja pembersihan di sekolah tersebut telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar oleh pasukan perubatan bagi mendapatkan rawatan lanjut. Beberapa jentera bomba dari Kangar, Arau, Padang Besar serta pasukan bomba sukarela turut digerakkan bagi membantu memadam kebakaran.
“Semasa awal kejadian, pasukan penyelamat turut berdepan sedikit kesukaran bagi memadam kebakaran berikutan tekanan air rendah dan terpaksa menggunakan sumber takungan sebelum lori tangki tiba. Kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 12 tengah hari namun operasi masih berjalan.
“Punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin pula berkata, kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan yang menempatkan lapan bilik darjah, bilik setor pekerja pembersihan, bilik reka bentuk teknologi (RPT) dan bilik kesenian.
Katanya, seramai 192 murid dan 18 guru di sekolah tersebut juga meneruskan sesi persekolahan seperti biasa dan lokasi kebakaran tersebut akan ditutup dengan pita keselamatan bagi mengelakkan insiden tidak diingini. – UTUSAN










