BUTTERWORTH : Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) optimis dapat mencapai sasaran kutipan zakat sehingga RM200 juta pada tahun ini berbanding jumlah kutipan yang diperoleh sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak RM172.8 juta.
TTimbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, keyakinan itu timbul susulan prestasi kutipan zakat bulanan yang merekodkan lebihan sehingga RM15 juta daripada sasaran yang ditetapkan iaitu sehingga Oktober lalu.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Zakat MAINPP berkata, dengan prestasi tersebut, sasaran untuk mencapai kutipan RM200 juta dalam tempoh dua bulan terakhir ini bukan sesuatu yang mustahil.
“Insya-Allah, (sasaran) dapat dicapai dan akhirnya, kita dapat pulangkan kembali kutipan zakat ini kepada asas-asas bagi dibangunkan asas-asas itu berdasarkan kepada Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI2030),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Guru Agama, Guru Al-Quran dan Anugerah Wakil Kutipan MAINPP 2025 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 429 guru agama menerima insentif dalam bentuk wang tunai berjumlah RM1,000 tiap seorang manakala seramai 1,304 guru Al-Quran pula masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM800 sebagai insentif.
Lima anugerah turut diberi kepada wakil kutipan terbaik daripada 27 agensi pada majlis yang sama iaitu Anugerah Khas Abu Bakar As-Siddiq (Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik), Anugerah Muaz Ibnu Jabal (Anugerah Kutipan & Agihan Terbaik), Anugerah Huzaifah Ibnu Al-Yaman (Anugerah Pengurusan Terbaik & Inovasi), Anugerah Abu Ubaidah Al-Jarrah (Anugerah Kutipan Zakat Paling Aktif) dan Anugerah Ka‘ab Ibnu Malik iaitu Anugerah Dakwah Zakat Terbaik.
Dalam pada itu, Mohamad berharap agar pemberian insentif kepada guru agama dan guru yang mengajar al-Quran berupaya menaikkan semangat mereka untuk terus mengajar dan mendidik anak bangsa dalam bidang agama pada masa depan.-UTUSAN










