KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyangkal dakwaan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang mengaitkan kelewatan projek tebatan banjir menerusi Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasal 1 hingga 3 berpunca daripada masalah pengambilan tanah melibatkan 21 lot Tidak Dapat Dikesan (TDK).
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, hal ini kerana ia merupakan projek Kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja pengambilan balik tanah untuk tujuan itu melibatkan syarikat konsultan dan firma jurukur yang dilantik oleh Pusat.
Katanya, masalah itu boleh dielakkan sekiranya syarikat konsultan dan jurukur yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan merujuk Pejabat Tanah dan Jajahan serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri semasa membuat pengambilan balik tanah.
“Ia tidak boleh berdasarkan Sistem Pendaftaran Hakmilik Berkomputer kerana sistem ini tidak dapat mengesan tanah-tanah yang masih mempunyai isu yang belum selesai sepenuhnya di peringkat Pejabat Tanah dan Jajahan dan di peringkat Pejabat Tanah dan Galian Negeri
“Kerja-kerja pengambilan balik tanah untuk projek berkenaan dilaksanakan oleh firma jurukur dan konsultan lantikan Kerajaan Persekutuan serta diselia Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Muhamad semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, peranan kerajaan negeri adalah menerima dokumen-dokumen yang lengkap oleh syarikat konsultan dan jurukur untuk diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mendapat kelulusan seterusya membuat pewartaan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.
“Lot-lot TDK ini merupakan lot yang tidak dapat dikesan di dalam Sistem Pendaftaran Hakmilik Berkomputer semasa pewartaan dilakukan kerana jurukur yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan.
“Daripada 21 lot TDK yang disebut oleh Timbalan Menteri itu sebenarnya hanya tujuh lot sahaja masih berstatus tersebut (TDK) kerana pemiliknya masih belum dapat dikesan,” ujarnya.
Mohamed Fadzli memberitahu, baki 14 lot lagi bukan berstatus TDK dan proses pengambilan balik tanah itu ada yang telah selesai atau dalam peringkat akhir penyelesaian.-UTUSAN










