Empat termasuk bekas pegawai bank dituduh terima suapan

Empat termasuk bekas pegawai bank dituduh terima suapan

Pegawai bank
SAMEER Izzat Malik Fesal dibawa SPRM ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan menerima suapan, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Empat termasuk seorang bekas pegawai bank dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM15,601 melibatkan penyediaan 18 dokumen perjanjian pembiayaan bernilai keseluruhan RM4.25 juta.

Tertuduh, Sameer Izzat Malik Fesal, Mohd. Ariff Firdaus dan Mohd. Ahmad Fathullah Idris mengaku tidak bersalah selepas masing-masing mendengar empat, dua dan satu kertas pertuduhan utama serta pilihan yang dibacakan ke atas mereka.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Abdul Rahman Yusoff pula mengaku bersalah selepas mendengar lima pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, bekas pegawai bank Sameer Izzat, 37 didakwa menerima suapan RM5,149 secara berperingkat antara 19 Julai hingga 2 Oktober 2022, sementara Mohd. Ariff Firdaus, 38, didakwa menerima suapan sebanyak RM2,469 pada 12 November 2020 dan 20 Ogos 2021 dan Ahmad Fathullah, 38, pula menerima RM1,325 pada 7 Januari 2021.

Bagi Abdul Rahman, 44, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM6,658 antara Jun 2020 hingga Oktober 2021.

Kesemua mereka didakwa menerima suapan melalui akaun bank masing-masing daripada sebuah firma guaman yang sama bagi mencadangkannya untuk menyediakan dokumen perjanjian pembiayaan perumahan berjumlah antara RM61,750 hingga RM523,589.

Justeru, kesemua tertuduh dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kesemua tertuduh juga dihadapkan dengan pertuduhan pilihan di bawah Subseksyen 25(2) akta sama kerana tidak melaporkan tanpa halangan munasabah pemberian suapan tersebut kepada SPRM atau polis dengan segera.

Subseksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan Sameer Izzat dan Ahmad Fathullah diikat jamin sebanyak RM13,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Malah, sebagai tambahan mahkamah memerintah Ahmad Fathullah melapor diri ke Pejabat SPRM Selangor dua kali sebulan berikutan tertuduh dikatakan tidak memiliki pasport.

Di mahkamah berasingan, Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin pula membenarkan Mohd. Ariff Firdaus diikat jamin sebanyak RM10,000 dan mengenakan syarat tambahan sama.

Beliau turut menjatuhi hukuman denda RM25,000 terhadap Abdul Rahman yang tidak wakili peguam dan menetapkan penjara 30 bulan jika gagal membayarnya.

Kedua-dua mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 13 Januari depan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Esther Jecyntha dan Natrah Fareha Rahmat. Sementara peguam Mohd. Norazihan Adnan, Mohd. Saiful Hadi dan R. Palaya pula mewakili Sameer Izzat, Ahmad Fathullah dan Mohd. Ariff Firdaus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN