Dua lelaki bersaudara mengaku tidak bersalah aniaya beruk

Dua lelaki bersaudara mengaku tidak bersalah aniaya beruk

ANGGOTA polis mengiringi kedua-dua tertuduh semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret, Bachok, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Dua lelaki bersaudara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan dan bersubahat memukul selain menakut-nakutkan seekor beruk di Kampung Jembal, dekat sini, kira-kira tiga minggu lalu.

Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, dan sepupunya, Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Amirul Afiq didakwa dengan sengaja mendatangkan penganiayaan terhadap seekor beruk jantan berwarna coklat dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di tepi sebuah rumah kosong kawasan Kampung Jembal, Jalan Tawang, di sini kira-kira pukul 6.30 petang pada 1 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Khairul Aziman dituduh bersubahat dengan Muhamad Amirul Afiq untuk mendatangkan penganiayaan terhadap haiwan tersebut dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di lokasi, masa dan hari yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin mewakili kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan jaminan RM10,000 untuk kedua-kedua tertuduh, namun Muhammad Habil dalam rayuannya memohon ikat minimum diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki dicekup selepas dipercayai melakukan penganiayaan terhadap binatang dengan membelasah seekor beruk di Kampung Jembal sehingga kejadian itu tular dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×