KUALA LUMPUR: Dua buruh binaan warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warganegara Myanmar, Julai lalu.
Tertuduh, Mohammad Syafiee dan Sariam; kedua-duanya berusia 55 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang suspek yang masih bebas didakwa menculik warga Myanmar, Balal Husom Abdul Monaf dengan tujuan menuntut wang tebusan pada pukul 3 pagi, 5 Julai lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah flat di Taman Wilayah, Jinjang, Sentul, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun atau maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak mengenakan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan turut menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN










