PETALING JAYA: Usahawan, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red tampil memberi kata semangat kepada pelakon popular, Kamal Adli, yang kini berdepan ujian getir dalam rumah tangganya bersama Uqasha Senrose.
Melalui komen di platform TikTok, Datuk Red yang juga bekas suami kepada penyanyi, Adira menitipkan pesanan berbentuk sokongan moral buat Kamal yang dilihat masih berusaha mempertahankan perkahwinannya yang kini di ambang perpisahan.
“Terus kuat, belum tamat lagi,” tulis Datuk Red ringkas seolah-olah memberi nasihat seorang abang kepada adik yang sedang berduka.
Pesanan tersebut ditinggalkan pada video terkini yang dimuat naik Kamal, memaparkan kenangan indahnya bersama anak perempuannya, Hawra Uqaira, ketika bersiar-siar di sebuah taman.
“Tiada apa-apa, cuma rindu,” tulis Kamal dalam kapsyen pendek yang menggambarkan kerinduan seorang suami dan bapa terhadap keluarga kecilnya.
Sebelum ini, Kamal memaklumkan kepada media bahawa beliau sudah lama tidak dapat berhubung dengan isteri dan anaknya selepas panggilan telefon serta media sosialnya disekat oleh Uqasha.
Kisah rumah tangga pasangan selebriti itu mula menjadi perhatian umum sejak April lalu, selepas timbul khabar angin mendakwa hubungan mereka bergolak, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Bagaimanapun, kontroversi tersebut semakin hangat apabila Uqasha memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN










