NEW YORK: Barisan juri di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memutuskan syarikat pengeluar pesawat gergasi, Boeing, perlu membayar pampasan berjumlah AS$28.45 juta (RM117.5 juta) kepada keluarga seorang mangsa nahas pesawat Boeing 737 MAX milik Ethiopian Airlines.
Keputusan itu dibuat dalam perbicaraan sivil pertama berkaitan tragedi maut tersebut, yang meragut 157 nyawa pada Mac 2019.
Mangsa berkenaan ialah Shikha Garg, warga India dari New Delhi yang baru mendirikan rumah tangga sebelum nahas berlaku.
Perbicaraan diadakan di mahkamah persekutuan Chicago dan bermula pada 3 November lalu.
Selepas kira-kira dua jam bermesyuarat, juri memutuskan pampasan merangkumi AS$10 juta bagi kesedihan, AS$10 juta bagi penderitaan mangsa, serta bayaran tambahan lain.
“Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Kami datang untuk mendapatkan keadilan melalui juri, dan keputusan ini amat memuaskan,” kata suami mangsa, Soumya Bhattacharya kepada AFP.
Peguam yang mewakili Bhattacharya sebelum ini menuntut pampasan antara AS$80 juta hingga AS$230 juta, manakala pihak Boeing mencadangkan bayaran hanya sebanyak AS$11.95 juta.











