KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) merupakan langkah strategik untuk menggalakkan pelaburan, merangsang produktiviti dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Kementerian Sumber Manusia telah menetapkan sasaran tinggi melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan lebih ramai rakyat menyertai program peningkatan kemahiran dan latihan industri selaras pelaksanaan DGP.
“Secara keseluruhannya, melalui MyFutureJobs, TalentCorp dan HRD Corp, kita menyediakan latihan bagi memenuhi keperluan sektor yang mempunyai kekosongan tinggi.
“Namun, berdasarkan pengalaman saya mengikuti beberapa program MyFutureJobs, tawaran jawatan memang banyak, tetapi kadar pengisiannya masih rendah walaupun lebih 1.1 juta kekosongan diiklankan dalam portal tersebut.
“Jika dahulu orang mencari kerja melalui surat khabar, kini dalam era digital sepatutnya proses ini lebih mudah,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN–Padang Terap) yang meminta penjelasan sejauh mana DGP berfungsi sebagai pemangkin peningkatan pekerjaan baharu dan kenaikan gaji median negara.
Menurut Abdul Rahman, DGP dirangka bagi mengukuhkan struktur pasaran buruh negara dengan memberi insentif kepada syarikat untuk menawarkan gaji lebih baik sekali gus meningkatkan produktiviti dan menarik pelaburan baharu.
“Dasar gaji progresif turut digerakkan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing. Kita kini sedang dalam proses mengurangkan pengambilan pekerja asing dan pada masa sama meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Dari sudut pelaburan pula, banyak jawatan baharu diwujudkan bagi manfaat rakyat negara kita,” katanya. – UTUSAN










