CYBERJAYA: Kerajaan Selangor menubuhkan Dana Semikonduktor Selangor bagi memperkukuh usaha memperkasakan industri semikonduktor dengan dana sasaran lebih RM100 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Dana Semikonduktor Selangor itu ditubuhkan menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Beliau berkata, dana itu ditubuhkan hasil kerjasama dengan dengan Artem Venture Fund iaitu firma modal teroka berpangkalan di negara ini.
“Kami menyasarkan kutipan melebihi RM100 juta dan akan mula beroperasi bulan ini dan mahu melahirkan sekurang-kurangnya tujuh syarikat permulaan (startup) berpotensi tinggi dalam bidang reka bentuk dan teknologi semikonduktor tempatan.
“Penubuhan dana ini bukan sekadar satu instrumen kewangan tetapi komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk melahirkan pakar tempatan dalam penyelidikan, pembangunan dan reka cipta teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Malaysia Semikonduktor Integrated Circuit ( IC) Design Park 2 di sini hari ini.
Katanya, bidang semikonduktor adalah antara bidang tumpuan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), agar Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2030.
Amirudin berkata, dengan sokongan padu daripada kerajaan melalui inisiatif ARM Design Token, syarikat (semikonduktor) ini berpotensi untuk berkembang pesat dan disenaraikan di pasaran awam dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
“Inisiatif ARM Design Token itu sekali gus mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan minat tinggi daripada komuniti modal teroka terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, banyak syarikat semikonduktor gergasi dunia kini menunjukkan minat untuk menempatkan operasi mereka di Malaysia Semiconductor IC Design Park susulan kejayaan IC Design Park 1 di Puchong.
“Namun begitu, ruang yang tersedia pada masa ini adalah terhad. Oleh itu, kita akan melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran IC Design Park kedua di sini, Coplace 9 Cyberjaya yang bakal memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama industri semikonduktor negara.
“Fasa kedua ini akan menempatkan Pusat Ujian Cip Termaju serta kemudahan latihan lanjutan di bawah Advanced Semiconductor Malaysia Academy (ASEM),” katanya.-UTUSAN










