LOS ANGELES: Konsert jelajah Eternal Sunshine bermula Jun tahun depan berkemungkinan menjadi konsert terakhir sebelum penyanyi, Ariana Grande berehat panjang daripada dunia nyanyian.
Penyanyi popular itu, ketika menjadi tetamu podcast Good Hang beberapa hari lalu memaklumkan keputusan itu adalah sebahagian perancangan untuk mengembangkan pembabitannya dalam dunia lakonan.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara yang belum pasti, tapi apa yang boleh saya katakan adalah perjalanan 10 hingga 15 tahun lepas akan lebih berbeza dengan beberapa tahun akan datang.
“Dan pastinya saya amat teruja untuk memulakan konsert jelajah ini kerana ia mungkin tidak akan berlaku untuk jangka masa yang panjang selepas ini.
“Jadi saya akan berikan sepenuh hati, ia akan menjadi pengalaman indah yang akan saya syukuri selamanya.
“Itu antara sebab mengapa saya mahu melakukannya, ibaratnya buat masa ini, ia akan menjadi yang terakhir daripada saya,” kongsinya.
Kenyataan itu dibuat Ariana selepas memberitahu yang sebelum ini dia hampir mengucapkan selamat tinggal kepada karier nyanyiannya bagi memberi tumpuan terhadap bidang lakonan termasuk komitmen kepada filem Wicked.
“Saya pernah terfikir yang mungkin saya tidak akan mengeluarkan album selepas ini. Itu antara rahsia yang saya simpan sebelum terbang ke London beberapa tahun lalu.
“Tapi saya tahu yang saya tidak mungkin tidak mengeluarkan album,” katanya menerusi podcast Shut Up Evan.
Ariana bagaimanapun berjanji yang dia tidak akan menghampakan peminat dengan meninggalkan terus dunia nyanyian demi kerjaya lakonan.
“Kesibukan dengan banyak perkara sekarang ini tidak membawa maksud yang saya akan tinggalkan terus muzik dan nyanyian. Ia sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan saya,” kongsinya.










