Tinggal hanya 50 meter untuk sampai ke hentian rehat, kumpulan pendaki ini dikejutkan dengan tanah runtuh yang kemudiannya menutup laluan utama perjalanan ketika menelusuri Banjaran Titiwangsa.
Menurut Pemandu Arah Ekspedisi Banjaran Titiwangsa V6, Zulkifli M. Sanuddin, 47, itulah saat paling mencemaskan baginya yang mendahului 27 peserta, sekali gus menjadi antara pengalaman paling gentir sepanjang 65 hari menerokai banjaran itu.
Katanya, selain daripada terpaksa menempuh perjalanan sejauh 656.05 kilometer, pengembaraan kali ini turut dipengaruhi keadaan cuaca monsun hujan lebat yang berterusan hampir setiap hari.
Keadaan cuaca hujan menjadi faktor kelewatan perjalanan, ekoran banyak kali pengembaraan terpaksa dihentikan.
“Monsun yang melanda bukan sekadar menyebabkan hujan berpanjangan, malah menyebabkan banyak pokok tumbang dan laluan terpaksa diubah akibat cuaca buruk,” jelasnya.
Justeru, bagi mengurangkan risiko kelewatan, peserta ekspedisi perlu bangun lebih awal setiap hari supaya pendakian dapat diselesaikan sebelum hujan turun.
Namun, ada masanya langkah yang dirancang tetap tidak dapat menandingi keadaan cuaca yang tidak menentu.

TEKAD SELESAIKAN MISI
Walaupun berdepan cabaran cuaca yang ekstrem, ekspedisi tetap diteruskan dengan penuh tekad.
Setiap peserta lelaki memikul beg sandang seberat 38 hingga 39 kilogram, manakala bagi wanita pula sekitar 36 kilogram.
Beban tersebut bukan sekadar pakaian, tetapi turut mengandungi makanan, peralatan dan kelengkapan bertahan hidup di dalam hutan.
Sepanjang perjalanan, para peserta melintasi lebih 60 hingga 70 gunung dan bukit, termasuk enam puncak utama setinggi 2,133 meter.
Mereka juga menyeberangi lebih 30 laluan air dan sungai kecil yang tenang dan mudah dilalui, namun sebahagian lagi mempunyai arus deras dan berbahaya, terutama selepas hujan.
Walaupun tidak pernah bertembung secara langsung dengan haiwan liar, mereka kerap menemui kesan tapak kaki gajah dan harimau yang masih baharu.
Demi keselamatan, perjalanan dihentikan seketika, malah ada ketika tapak tersebut cuba ditutup bagi mengurangkan rasa gusar dalam kalangan peserta.
Daripada sudut logistik, pengurusan bekalan makanan dan keperluan lain amat kritikal.
Bekalan dihantar di lima hentian yang telah ditetapkan sepanjang laluan.
Mujurlah, sokongan daripada penganjur utama ekspedisi tersebut, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar serta kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung, urusan penghantaran stok makanan dapat dipermudahkan.
Pada masa sama, usaha menyelamatkan peserta yang tidak berjaya meneruskan perjalanan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Makanan kering, ubat-ubatan, bateri dan kelengkapan asas lain dibekalkan semula. Tanpa sokongan ini, mustahil peserta mampu memikul semua bekalan sekali gus untuk tempoh lebih dua bulan,” katanya.
Seramai 28 peserta menyertai ekspedisi pada awalnya, namun hanya 20 orang berjaya menamatkan cabaran hingga ke garisan penamat.
Katanya, baki lapan peserta terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan, kecederaan serta keletihan.-UTUSAN










