SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya memastikan masalah jalan terputus akibat banjir atau tanah runtuh dapat diatasi dengan segera menerusi pembinaan jambatan bailey.
Sebanyak 12 set komponen jambatan itu yang bernilai RM21 juga diagihkan kepada sembilan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri termasuk di Pantai Timur sebagai persediaan menghadapi kesan Monsun Timur Laut (MTL).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini sebanyak tujuh Jambatan Panel Keluli Bermodula (JPKB) sepanjang kira-kira 777 meter itu ditempatkan di tujuh stor di beberapa negeri untuk digunakan ketika berlaku bencana.
Beliau berkata, pengguna jambatan tersebut penting bagi memudahkan kecekapan dan kelancaran pembinaannya dalam masa singkat di kawasan yang memerlukan.
“Tanpanya, kita memerlukan kren dan sebagainya yang menyukarkan (pembinaan jambatan sementara).
“Perlu sebab kita tidak mempunyai jumlah yang banyak (bagi menampung kesan bencana di seluruh negara). Di mana yang diperlukan sangat dan ada keutamaan, disitulah kita buat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kelengkapan Launching Nose JPKB JKR, hari ini.
Tambahnya, dengan komponen tersebut, jambatan bailey dapat dibina dalam tempoh 36 jam bergantung kepada panjang jambatan diperlukan.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Nanta memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan memastikan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves tidak terlepas daripada tindakan tegas sekiranya wujud pengabaian aspek keselamatan sehingga mengakibatkan kemalangan baru-baru ini.
Menurutnya, buat masa ini lembaga tersebut sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 34C(1) Akta CIDB 1994.
“Kita nak pastikan CIDB ambil langkah tegas kepada kontraktor dan supaya pembinaan diberhentikan serta merta dan tidak boleh buat apa-apa sehingga aspek keselamatan ditambah baik,” ujarnya. – UTUSAN










