Pasaran ASEAN, AfCFTA berpotensi besar dihubungkan - Utusan Malaysia

Pasaran ASEAN, AfCFTA berpotensi besar dihubungkan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) berpotensi besar dihubungkan dengan pasaran ASEAN, satu langkah strategik dijangka membuka ruang pertumbuhan baharu serta meningkatkan keterhubungan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penyambungan dua blok ekonomi besar itu bukan sahaja mampu merangsang perdagangan rentas sempadan, malah memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pasaran lebih luas, pelaburan baharu serta pengukuhan rantaian bekalan serantau.

Beliau menegaskan Malaysia juga bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang selari agenda pembangunan negara-negara Afrika. “Antara bidang yang ditawarkan termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, pembangunan infrastruktur mampan serta sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit, yang menjadi kekuatan Malaysia di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, langkah itu sejajar usaha memperkukuh hubungan dengan negara-negara Afrika berteraskan solidariti, persahabatan tulen dan semangat saling menghormati, sekali gus membuka peluang kerjasama ekonomi yang lebih meluas dan mampan.

Anwar Ibrahim kini  berangkat ke Johannesburg, Afrika Selatan  bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Batu Uban, A Kumaresan; pegawai kanan kerajaan serta delegasi pemimpin perniagaan utama negara.

Anwar menghadiri sidang kemuncak itu atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan undangan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, yang juga Presiden G20 2025.

G20 di bawah pimpinan Afrika Selatan mengambil tema ‘Solidariti, Kesaksamaan, Kemapanan’, selari tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menekankan keutamaan pembangunan saksama dan mampan bagi ekonomi berdaya tumbuh tinggi.

Dalam lawatan itu, Anwar berpeluang mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf, di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini.

Anwar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Mahamoud pada Mac lalu dan menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan negara Afrika secara lebih strategik dan berpandangan jauh.

Katanya, pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu sebagai pemangkin penting bagi memperluas jaringan kerjasama dengan negara-negara anggota Kesatuan Afrika.

“Langkah itu akan membuka ruang kepada pelbagai inisiatif ekonomi, pendidikan, dan pembangunan kapasiti yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua pihak,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN