KOTA TINGGI: Peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BN bertanding dan meletakkan calon atas kekuatan parti sendiri dengan tiada kaitan dengan mana-mana parti lain.
“Peletakan jawatan itu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), jadi saya percaya ia tidak menjejaskan kedudukan atau sokongan terhadap BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (Felda) Lok Heng, Kota Tinggi di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, BN sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk kempen dan isu pasti dibangkitkan dalam PRN Sabah.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, soal siapa yang bakal menjadi poster boy BN PRN Sabah tu akan diumumkan oleh Presiden parti.
Katanya, penampilan ramai muka baharu sebagai calon BN PRN Sabah memberi peluang kepada generasi muda memainkan peranan dalam kemajuan negeri.
“Muka-muka baru sesuatu yang sangat-sangat wajar, itu menunjukkan bahawa BN sangat serius untuk membawa perubahan juga untuk memberi peluang kepada calon-calon baru, muda yang mungkin mampu membawa kemajuan yang lebih baik kepada Sabah.
“Dan yang lebih penting juga, Sabah dan mana-mana negeri jika ingin dibangunkan dengan baik perlu ada hubungan yang rapat dengan kerajaan pesat,” katanya.-UTUSAN










