KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa tahanan warga Filipina ditempatkan di depot dalam keadaan sesak sehingga mengakibatkan ramai meninggal dunia.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas serta mengelirukan, malah gambar yang tular bukan merujuk kepada mana-mana depot tahanan imigresen negeri ini.
Katanya, semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di depot tahanan imigresen di negeri ini berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa.
“Tahanan diberikan kemudahan asas termasuk makanan mengikut jadual yang ditetapkan dan mematuhi menu serta ketetapan nutrisi diluluskan Kementerian Kesihatan mengikut keperluan orang dewasa dan kanak-kanak. Selain itu, mereka diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan serta keperluan asas lain mengikut keperluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata proses penghantaran pulang tahanan warga Filipina melalui kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu.
Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
“Sebagai langkah memastikan proses repatriasi terus dilaksanakan, imigresen Sabah menggunakan laluan alternatif menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao.
“Bagaimanapun, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan berkenaan,” katanya.
Sh Sitti Saleha menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat, gambar atau kandungan yang tidak sahih serta mengelirukan. – UTUSAN










