Belanjawan 2026 fokus TVET, pembangunan luar bandar - Utusan Malaysia

Belanjawan 2026 fokus TVET, pembangunan luar bandar

Belanjawan 2026 fokus TVET, pembangunan luar bandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 yang memfokuskan peningkatan taraf hidup rakyat melalui pelaburan besar dalam prasarana asas, pendidikan dan pembangunan ekonomi luar bandar mendapat respons positif kerana dianggap mampu menyokong pembangunan negara secara lebih seimbang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri itu dirangka bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati pembangunan setara dengan bandar melalui peruntukan bersasar, pelaksanaan berfasa dan pendekatan holistik yang memberi impak segera.

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat luar bandar. Walaupun urbanisasi pesat berlaku, tanggungjawab kita ialah memastikan mereka terus mendapat akses kepada kemudahan dan peluang yang adil,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Beliau berkata, kira-kira 8.1 juta penduduk masih menghuni kawasan luar bandar dan memerlukan tumpuan pembangunan konsisten agar jurang ekonomi serta sosial tidak terus melebar.

Menurutnya, tumpuan belanjawan kali ini bukan sekadar merapatkan jurang bandar-desa, tetapi memastikan kesamarataan peluang jangka panjang.

Sebanyak RM3.3 bilion disediakan bagi projek prasarana asas luar bandar meliputi pembinaan jalan, bekalan air bersih, elektrik dan pemasangan lampu jalan termasuk solar.

Namun beliau mengakui permintaan kepada prasarana asas jauh lebih tinggi berbanding kemampuan semasa.
“Peruntukan ini besar tetapi hakikatnya masih belum mencukupi. Kita laksana secara berfasa dan berfokus agar kawasan paling tertinggal diberi keutamaan,” katanya.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) untuk menyokong lebih 720,000 pekebun kecil dan peneroka.

“Tumpuan kita ialah meningkatkan produktiviti, menstabilkan harga komoditi dan menggerakkan aktiviti hiliran supaya pendapatan mereka meningkat secara mampan,” ujarnya.

Dalam mengukuhkan ekosistem usahawan desa, Majlis Amanah Rakyat (MARA), menerima RM4 bilion termasuk RM50 juta bagi menaik taraf premis perniagaan dan RM100 juta untuk pengskalaan usahawan Bumiputera.

“Kita mahu lahirkan usahawan desa yang moden, berdaya saing dan menguasai digital, bukan hanya berdagang secara tradisional,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, peningkatan 35 peratus dalam transaksi perniagaan atas talian dari luar bandar membuktikan potensi besar sektor tersebut.

“Kita ajar mereka konsep pembahagian tugas. Usahawan tak boleh bekerja seorang diri sampai penat dan akhirnya gulung tikar,” katanya.
Kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Digital turut dipertingkat bagi meluaskan liputan 5G ke kawasan luar bandar.

“5G tidak boleh hanya tertumpu di bandar. Generasi desa juga berhak menikmati akses digital, termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT),” katanya.

Dalam sektor Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion melibatkan 12 kementerian dan 1,398 institusi di seluruh negara.

Beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencecah 95.1 peratus.

“TVET bukan lagi laluan kedua. Gaji permulaan antara RM2,500 hingga RM3,500 membuktikan keperluan industri terhadap tenaga mahir,” katanya.

Kerajaan turut membuka peluang kepada pelajar tahfiz untuk mempelajari kemahiran TVET supaya mereka juga berpeluang menyertai kerjaya dalam bidang teknikal.

“Jika mereka boleh menghafal 30 juzuk, subjek teknikal bukan halangan. Industri aeroangkasa dan maritim juga kini menerima graduan tahfiz,” katanya.

Sebanyak RM70 juta disediakan untuk membekalkan Smart TV kepada 10,800 Tabika dan Taska KEMAS bagi memperkukuh pedagogi digital awal kanak-kanak.

Program Tabika Autisme turut diperkukuh dengan sasaran satu negeri satu tabika khas bermula 2026 dan satu daerah satu tabika khas pada 2027.

Komuniti orang asli juga diberi perhatian melalui peruntukan RM412 juta melibatkan prasarana, pendidikan dan kebajikan masyarakat tersebut.
“Kita sedang meminda Akta Orang Asli 1954 kerana sudah terlalu lama tidak dikemas kini. Hak mereka perlu diselaras mengikut keperluan semasa,” katanya.

Dalam aspek pengurusan bencana, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi tebatan banjir.

“Penduduk kini akan menerima amaran pemindahan dua hari lebih awal sebelum paras air naik. Ini penyelamatan nyawa dan harta
benda,” katanya.

Kerajaan turut merancang pembinaan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) yang boleh berfungsi semula sebagai kemudahan komuniti selepas musim banjir.

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian serius kepada keberkesanan dasar, bukan sekadar saiz peruntukan yang diumumkan.

“Kita tidak mahu belanjawan ini sekadar diumumkan tanpa hasil. Fokus kami ialah penyampaian yang sampai kepada rakyat,” tegasnya.
Mengulas persiapan menghadapi PRN Sabah, beliau menegaskan Barisan Nasional (BN) memasuki gelanggang sebagai ‘underdog’ namun persiapan jentera telah dimulakan lebih awal.

“Senarai calon ada pada saya, tetapi kita akan pilih yang terbaik dan paling layak untuk rakyat Sabah,” katanya.

Belanjawan 2026, katanya, memberi ruang besar kepada KKDW memperkukuh agenda pembangunan desa merangkumi prasarana, ekonomi, pendidikan dan kebajikan komuniti terpinggir demi kesejahteraan rakyat luar bandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN