Bekas ratu cantik Sabah taruhan Warisan di Inanam

Bekas ratu cantik Sabah taruhan Warisan di Inanam

EDNA JESSICA MAJIMBUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Bekas Unduk Ngadau atau ratu cantik Sabah, Edna Jessica Majimbun dipertaruhkan Parti Warisan (Warisan) pada kali ini bagi berdepan saingan hebat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR & HAFIZ SAIDINA dan jurugambar AMIR KHALID, beliau menyifatkan ia sebagai satu kelebihan buat dirinya, beliau juga yakin kemenangan berpihak kepadanya berikutan penerimaan terhadap parti tempatan serta beliau satu-satunya calon wanita tunggal di kawasan itu.
Meskipun tidak pernah menyertai politik sebelum ini, namun anak bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun ini mempunyai hasrat untuk menyelesaikan isu setempat dengan menggunakan pengalamannya yang berkhidmat di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu.

UTUSAN: Mengapa memilih Wa­risan sebagai parti pertama?
EDNA: Saya memang tidak pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini. Selepas menilai keada­an politik Sabah dan berbincang dengan ramai pihak, saya melihat Warisan sebagai satu-satunya parti tempatan yang relevan untuk membawa suara Sabah dalam DUN. Saya tidak menolak kerjasama dengan parti Semenanjung, tetapi untuk pilihan raya ini, saya mahu parti lokal menjadi suara utama.

Apa keyakinan asas untuk menang, terutama berdepan penyandang yang juga pemimpin PKR seperti Datuk Peto Galim?
Saya percaya setiap calon ada strateginya, tetapi keyakinan saya datang daripada sokongan di lapangan. Komuniti Cina khususnya menunjukkan perubahan sokongan yang ketara ke arah Warisan. Selain itu, saya sudah dua minggu turun padang dan mendapati penerimaan masyarakat sangat positif.

Maksudnya pengundi Cina menjadi penentu kemenangan?
Saya tidak mahu kata kemena­ngan bergantung pada satu kaum sahaja. Di Inanam, peratusan Cina dan KDM hampir seimbang. Namun daripada pemerhatian lapangan, saya lihat kedua-dua komuniti ini kini lebih cenderung kepada Warisan. Apa yang penting ialah kerja keras untuk meyakinkan semua kelompok pengundi.

Mengapa bertanding dengan adik sendiri di kawasan yang sama, adakah salah seorang bertindak sebagai pemecah undi?
Kami memang berbeza ideologi tetapi hubungan keluarga tetap baik. Kami tidak pernah membincangkan politik di rumah, dan masing-masing profesional. Kami masih berjumpa setiap minggu seperti biasa, cuma kempen dijalankan secara berasingan dan hormat-menghormati keputusan masing-masing.

Isu terbesar di Inanam yang mahu diselesaikan jika dipilih sebagai wakil rakyat?
Banyak masalah asas di sini, air, jalan raya yang teruk, internet lemah dan pelajar terpaksa ber­ulang alik jauh ke pekan kerana tiada kemudahan asrama. Saya mahu beri keutamaan kepada infrastruktur, pembinaan asrama pelajar dan menyelesaikan akses internet terutama di kawasan se­perti ‘Bukit Internet’. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×