KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyumbangkan wang hasil kemenangan kes saman fitnah ke atas Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo berjumlah RM30,000 kepada Pusat Austimes Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Razarudin berkata, sumbangan yang diberikan itu khusus bagi menyokong operasi pusat berkenaan yang memerlukan perbelanjaan bulanan tinggi serta melibatkan 16 tenaga pengajar bagi sesi pagi dan petang.
Menurutnya, sebelum ini beliau turut menyumbang sebanyak RM25,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis, membabitkan bayaran sebanyak RM15,000 dan RM10,000.
“Pusat Autisme ini tidak mendapat keuntungan. Setiap bulan kita terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk menampung operasi,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan bantuan kepada Pusat Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Razarudin berkata, wang yang disumbangkan adalah daripada bayaran yang diterima susulan saman fitnah yang diperoleh melalui proses mahkamah.
Sebelum ini, penulis blog Papagomo, Wan Muhammad Azri Wan Deris dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menghina mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan permohonan komital yang difailkan Razarudin terhadap Wan Muhammad Azri.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM30,000 kepada Razarudin.
Dalam penghakimannya, Gan berkata, permohonan maaf yang dibuat Wan Muhammad Azri di media sosial pada 1 Mei lalu tidak boleh diterima sebagai permohonan maaf sebenar kerana tidak menunjukkan kekesalan.
Susulan itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 15 hari kerana gagal mematuhi perintah mahkamah untuk memohon maaf dengan sempurna kepada Razarudin serta tambahan hukuman penjara 15 hari lagi kerana memuat naik video baharu yang tidak menunjukkan penyesalan.
Kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.
Pada 27 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan nilai ganti rugi RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri membabitkan satu kenyataan yang turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, tindakan saman yang dibuat terhadap Wan Muhammad Azri bukanlah berkaitan individu bernama Razaruddin, sebaliknya terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN).
“Saya saman bukan sebab duit. Ini kerana kedudukan IGP (KPN) tidak wajar difitnah. IGP adalah institusi yang mengetuai seluruh anggota. Kes itu dijangka selesai pada 2026 mengikut perkembangan prosiding semasa,” katanya.
Sementara itu, Razarudin menggesa supaya lebih banyak pihak membantu memberikan sumbangan kepada Pusat Autisme yang ditubuhkan lima tahun lalu.
“Pusat berkenaan lebih berorientasikan tanggungjawab sosial dan bukan organisasi berasaskan keuntungan.
“Kalau boleh, saya minta pusat autisme ini dibantu dan diangkat. Ramai anak-anak polis perlukan sokongan,” katanya. – UTUSAN










