KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap penulis blog kontroversi, Papagomo dan seorang pengguna Facebook, Mohd. Fauzan Madzlan diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan secara baik tuntutan saman fitnah tersebut yang difailkan tiga tahun lalu.
Untuk rekod, Mohd Fauzan selaku defendan juga merupakan bekas calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang semasa Pilihan Raya Negeri Selangor (PRN) Ke-14, 2018.
Selain Mohd Fauzan dan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, individu lain yang turut dinamakan dalam saman fitnah itu ialah pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani.
Peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata, defendan -defendan bersetuju dengan terma penyelesaian berhubung perintah penghakiman persetujuan dalam saman fitnah itu.
Jelasnya, sebarang isu yang timbul adalah berpunca daripada salah faham yang tidak sepatutnya berbangkit sejak awal dan pihak-pihak juga bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selain yang telah dipersetujui dalam kenyataan itu.
“Sehubungan itu, plaintif (Fahmi) menarik balik saman dan penyata tuntutan terhadap defendan (Papagomo) tanpa kos.
“Secara ringkasnya, dalam kes melibatkan Papagomo, defendan telah bersetuju bahawa ucapan Fahmi di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor pada 30 Julai 2023 ketika tempoh PRN Selangor Ke-15 bukan merupakan satu kempen politik atau ucapan berunsur politik,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini.
Asheeq Ali berkata, defendan, Mohd. Fauzan pula menyatakan rasa kesal terhadap hantaran Facebook bertarikh 31 Julai 2023 yang mengulas isu berkenaan sehingga menjadi subjek kepada kes saman fitnah itu.
“Secara ringkas, dua perkara utama telah dipersetujui iaitu pertama, ucapan Fahmi pada hari tersebut bukanlah satu kempen politik atau ucapan berunsur politik.
“Kedua, defendan melahirkan kekesalan terhadap salah faham yang timbul akibat kenyataan yang disiarkan melalui akaun Facebook ‘N13 Kuang’, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan menjadi subjek kes ini,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian kes saman fitnah itu penting bagi anak guamnya membersihkan namanya serta menunjukkan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan ataupun menggunakan ruang agama untuk tujuan politik.
Bagaimanapun, kes saman fitnah terhadap Ahmad Dusuki gagal mencapai penyelesaian dan perbicaraan akan diteruskan bermula esok.
Terdahulu, plaintif turut diwakili oleh peguam, Fahri Azzat manakala Papagomo diwakili peguam, Logan Iskandar Abdullah. Ahmad Fauzan pula diwakili oleh peguam, Mohammed Zamri Ibrahim dan peguam, Mohd. Jamil Yaacob mewakili Ahmad Dusuki.
Prosiding itu berlangsung di hadapan Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan saman fitnah itu, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – UTUSAN










