KOTA KINABALU: Seramai 74 calon Bebas mahu membentuk satu pakatan baharu jika mereka berjaya memenangi kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pembentukan blok tersebut turut dilihat mampu mencetuskan dinamik baharu dalam landskap politik Sabah, sekali gus memberi cabaran kepada gabungan parti besar lain yang kini mendominasi persaingan bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Kehadiran calon Bebas dalam pilihan raya kali ini meningkat 32 peratus atau 18 orang berbanding 56 orang pada PRN Sabah 2020 apabila mereka bertanding di hampir semua kerusi DUN.
Calon Bebas DUN Lamag, Mohd. Ismail Ayob berkata, politik Sabah kali ini membuka ruang besar kepada calon Bebas untuk mencipta kejutan apabila meningkat kepada 74 orang iaitu jumlah tertinggi setakat ini.
Katanya, keseluruhan 74 calon Bebas yang bertanding di 73 kerusi DUN boleh mewujudkan gelombang baharu yang mampu mengubah landskap politik negeri selepas 29 November ini.
“Ketika pengundi tidak percaya parti politik, calon Bebas memberi alternatif baharu kepada pengundi untuk menentukan masa depan politik Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara kerusi panas mempertaruhkan calon Bebas adalah Lamag yang berdepan penyandang, Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut sekiranya terdapat perbincangan antara calon untuk bertanding Bebas Mohd. Ismail berkata, tiada sebarang mesyuarat diadakan.
Menurutnya lagi, calon Bebas bukan sekadar memberi cabaran, malah berpotensi menjadi faktor penentu kepada keputusan PRN kali ini.
Seorang lagi calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya satu pakatan baharu dalam kalangan calon Bebas sekiranya sebahagian besar daripada mereka berjaya menempah kemenangan pada PRN Sabah.
Menurut bekas menteri Kebinet Persekutuan itu, kewujudan gabungan Bebas bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan jumlah mereka kali ini antara yang tertinggi dalam sejarah PRN Sabah.
Mengulas sama ada calon Bebas mampu memberi ancaman kepada parti-parti besar, beliau tidak menafikan potensi tersebut berdasarkan gerak kerja dan penerimaan pengundi di kawasan tertentu.
“Calon Bebas bukan dalam kalangan orang biasa malah ada yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan dan mempunyai pengundi sendiri yang ramai,” katanya. – UTUSAN










