Banjir: Ibu bapa cemas terima mesej minta ambil anak

Banjir: Ibu bapa cemas terima mesej minta ambil anak

SEORANG wanita membawa pulang anaknya selepas SK Dato Wan Kemara dinaiki air di Changlun, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Ibu bapa dan penjaga kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara di Changlun, di sini cemas apabila diminta mengambil anak-anak mereka segera ekoran air yang naik mendadak di pekarangan sekolah.

Umar Che Ahmad, 48, berkata, dia menerima maklumat daripada guru kelas anaknya melalui mesej agar para ibu bapa datang ke sekolah disebabkan banjir yang semakin teruk.

“Saya dan ibu bapa lain terpaksa meredah air untuk mengambil anak-anak kami di sekolah sebab air di SK Dato Wan Kemara sudah naik mendadak sebab hujan tidak berhenti.

“Malah, nak sampai ke sekolah pun susah sebab banyak laluan terputus hubungan disebabkan air memenuhi jalan raya termasuk jalan utama di hadapan sekolah ini,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Ashraf Nazri, 36, berkata, dia terkejut apabila menerima mesej daripada guru untuk segera datang ke sekolah sebelum keadaan bertambah teruk.

“Memang saya tahu kawasan ini berisiko banjir tapi masa hantar anak sekitar pukul 7 pagi tadi, keadaan nampak biasa sahaja. Mungkin sebab hujan berterusan lama, sekejap sahaja air melimpah ke kawasan sekolah,” katanya.

Norma Mohammad, 48, menyifatkan tindakan efektif pihak sekolah yang meminta mereka segera membawa pulang anak masing-masing mampu mengelak kejadian tidak diingini.

“Baguslah tutup seketika sekolah sebab kalau air terus naik dan budak-budak masih berada di sekolah saya rasa bahaya juga.

“Belakang sekolah ini ada sungai dan bila air penuh nampak menakutkan sebab air pun naik mendadak dan laju juga alirannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN