‘Babak aksi makanan saya’ - Utusan Malaysia

‘Babak aksi makanan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECEDERAAN pada ligamen bahagian bahu gara-gara menjayakan babak aksi dalam filem Libas lebih 14 tahun lalu tidak menghalang pelakon, Datuk Rosyam Nor untuk melakukan babak aksi dalam filem dilakonkannya.

Malah pelakon yang masih memegang gelaran Hero Malaya itu sendiri yang menyuarakan keinginan untuk melakonkan babak aksi dalam filem terbaharunya, Banduan.

Pada Rosyam, kecederaan terdahulu dan faktor usia tidak pernah membataskan keinginan beliau untuk melakonkan babak lasak dalam filem.

“Saya tak ada masalah melakonkan babak aksi meskipun usia sekarang sudah mencecah 58 tahun. Ini kerana saya jaga fizikal saya.

“Pada masa yang sama saya selalu fikir positif. Kalau pelakon antarabangsa mampu melakonkan babak aksi pada usia 50-an, mengapa tidak saya? Kita juga manusia seperti mereka.

“Cuma saya bersyukur kerana Allah memberikan saya kesihatan, masih mampu berlari dan melompat pada usia saya sekarang ini,” kongsinya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Banduan baru-baru ini.

Filem arahan Kroll Azry itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Afdlin Shauki, Fadhli Masoot, Abi Madyan dan ramai lagi.

Banduan yang diadaptasi daripada filem Tamil, Kaithi itu mula menjengah pawagam pada 6 November lepas.

KERJA BERPASUKAN

Rosyam dalam masa yang sama memaklumkan beliau tidak akan menolak sekiranya pengarah meminta beliau melakonkan babak lasak dan mencabar.

Namun, aktor ini juga menegaskan babak aksi yang dilakonkan perlulah sesuai dengan kemampuan diri dan bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

“Babak aksi makanan saya, sebati dengan diri saya sejak dulu lagi. Jadi saya jarang menolak jika diminta melakukannya.

“Nama saya naik pun disebabkan filem-filem aksi antaranya Castello dan KL Gangster.

“Tapi untuk menjayakan babak aksi ini bukan usaha saya seorang. Saya perlukan pasukan yang bagus untuk menyempurnakannya,” ujarnya.

Disoal mengenai kecederaan, kata Rosyam perkara itu biasa dihadapi pelakon lelaki di negara ini yang sinonim melakonkan babak lasak dalam filem.

“Bukan saya sahaja yang pernah cedera, pelakon lelaki lain juga mengalami perkara yang sama. Contoh Datuk Aaron Aziz yang juga mengalami sakit tulang belakang.

“Pelakon antarabangsa juga menghadapi situasi yang sama. Jadi bagi pelakon seperti kami, sakit badan dan kecederaan itu memang berlaku.

“Tetapi kami tetap akan mengatakan ya jika disuruh melakonkan babak aksi, lebih-lebih lagi babak pertarungan.

“Dan saya pula jarang gunakan khidmat pelakon aksi untuk menggantikan saya, melainkan babak itu diluar kemampuan saya,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN