KUALA LUMPUR: Meskipun sudah penghujung Ramadan, Dataran Merdeka tetap meriah dan menjadi pilihan orang ramai berbuka puasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lokasi itu bukan sahaja menjadi pilihan umat Islam berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan tetapi turut disertai pelancong dan pelbagai kaum untuk merasai kemeriahan suasana.
Pemandu e-hailing, Juhair Abdul, 34, sudah empat kali berbuka puasa bersama ahli keluarganya di Dataran Merdeka kerana suasana berbuka puasa di kawasan lapang di tengah ibu kota itu lebih meriah.
“Senang ada bazar berdekatan yang membolehkan kami membeli makanan sebelum duduk berbuka di sini,” katanya.
Pelajar, Puteri Arisya, 17, tertarik untuk berbuka di Dataran Merdeka selepas melihat perkongsian di TikTok memaparkan keindahan persekitaran dan suasana meriah.
“Tempat ini cantik dan sering tular. Walaupun hampir Aidilfitri, saya tetap mahu merasai pengalaman berbuka di sini,” katanya.
Juruteknik, Yusalme Yunus, 33, berkata lokasi ini menjadi pilihan golongan bujang bagi mengelakkan berbuka bersendirian di rumah. – UTUSAN










