MARANG: Rasa lebih lemak berbanding lemang biasa menyebabkan lemang periuk kera semakin digemari apatah lagi juadah tradisional itu pula jarang ditemukan.
Bagi peniaga, Nurul Najihah Ismail, 33, dari Kampung Pulau Kerengga di sini, dia sudah mengusahakan jualan lemang periuk kera sejak tahun 2018, iaitu setiap kali tiba bulan puasa dan musim perayaan.
Katanya, permintaan terhadap lemang unik itu sangat menggalakkan dan sehingga kini lebih 1,000 biji lemang periuk kera berjaya dijualnya sejak awal Ramadan lalu.
“Saya mula memproses lemang periuk kera pada awal pagi. Biasanya untuk tempahan hari ini, pada malam sebelumnya saya sudah mencuci sarang periuk kera yang digunakan keesokan harinya.
“Buat masa sekarang, saya mendapatkan bekalan sarang periuk kera daripada pembekal di Segamat, Johor dan Kuantan, Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Nurul Najihah berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelanggan tetap yang membuat tempahan setiap kali Ramadan dan musim perayaan.
“Saya menjual lemang periuk kera bersama rendang, namun pelanggan juga boleh membelinya tanpa rendang mengikut citarasa masing-masing.
“Setakat ini saya membuat penghantaran ke Kuala Nerus dan Dungun,” katanya.
Dia turut dibantu suaminya, Wan Muhamad Azri Safwan Wan Abdullah, 39, terutama bagi penghantaran di luar daerah.
Menurutnya, lemang periuk kera juga boleh menjadi pilihan kepada penggemar juadah tradisional yang ingin menikmati kelainan pada pagi Aidilfitri.
“Bagi tempahan hari raya, saya menyediakan kira-kira 1,500 sarang periuk kera dan berharap dapat memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.-UTUSAN.










