PETALING JAYA: Walaupun masih wujud persepsi negatif dalam kalangan segelintir masyarakat Melayu terhadap DAP, keadaan itu dilihat semakin berkurangan berbanding 60 tahun lalu.
Bekas Naib Presiden DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata, DAP pada hari ini jauh lebih matang dan inklusif dalam perjuangannya yang berteraskan kepentingan semua rakyat Malaysia, selaras dengan slogan Malaysian First atau Rakyat Malaysia didahulukan.
Menurutnya, landskap demokrasi negara juga menunjukkan perkembangan ketara berbanding enam dekad lalu, termasuk pelaksanaan pelbagai reformasi institusi dan perluasan hak rakyat.
“Walaupun persepsi negatif terhadap DAP masih wujud dalam kalangan sebahagian masyarakat, ia kini jauh lebih rendah berbanding era awal penubuhan parti itu.
“Antara perubahan itu termasuk penurunan usia mengundi kepada 18 tahun yang memberi ruang lebih besar kepada golongan muda untuk menentukan kerajaan, selain pengukuhan institusi Parlimen sebagai badan bebas daripada cabang eksekutif.
“Pelbagai undang-undang berkaitan perlindungan wanita juga diluluskan bagi memperkukuh keadilan sosial, selain usaha kerajaan memperkenalkan pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Teresa, cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut dilihat sebagai langkah penting ke arah sistem kehakiman yang lebih bebas.
“Perkembangan ini menunjukkan demokrasi negara semakin matang berbanding 60 tahun yang lepas,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan terhadap pendidikan bahasa ibunda, peningkatan akses pendidikan untuk semua kaum, serta pembangunan pesat di Sabah dan Sarawak turut mencerminkan kemajuan negara.
“Sabah dan Sarawak kini mempunyai lebih banyak hak dan kuasa berbanding dahulu, dan ini adalah sebahagian daripada hasil perjuangan yang telah lama diperjuangkan,” katanya.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Young Syefura Othman berkata, parti itu kini bersamasama membentuk masa depan negara bermula dengan kerusi pembangkang.
“Ulang Tahun ke-60 parti itu bukan sekadar angka, tapi simbol ketabahan dalam mempertahankan demokrasi, keadilan sosial dan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
“Dari bangku pembangkang yang lantang hinggalah ke koridor pentadbiran, perjuangan kita tidak pernah luntur, dari sebuah parti kecil, kini kita bersamasama membentuk masa depan negara.
“Perjalanan ini masih jauh, cabaran tetap ada, namun tekad kita tidak berganjak. Terima kasih kepada semua penyokong dan akar umbi yang setia bersama selama enam dekad ini,” katanya. – UTUSAN










