ART buka laluan PKS halal Pulau Pinang tembusi pasaran AS

ART buka laluan PKS halal Pulau Pinang tembusi pasaran AS

CHOW Kon Yeow ketika menjawab soalan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan industri halal di negara ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, menerusi perjanjian itu ia membuka akses pasaran bebas tarif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal Pulau Pinang untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS).

Kata beliau, inisiatif itu juga berpotensi menjadikan aktiviti eksport lebih mudah dan efektif daripada segi kos selain membolehkan PKS tersebut berintegrasi dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat AS dalam industri berteknologi tinggi.

“Sokongan berterusan daripada kerajaan negeri serta kerjasama rapat dengan agensi Persekutuan dan sektor swasta dijangka membantu PKS halal tempatan memanfaatkan peluang ini serta memperluas operasi mereka ke peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, industri halal di Pulau Pinang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi, khususnya dalam sektor makanan siap dan pemprosesan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Izhar Shah Arif Shah (PN-Seberang Jaya) mengenai impak ART terhadap ekonomi negeri semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga sentiasa peka terhadap potensi cabaran yang mungkin timbul daripada pelaksanaan ART khususnya dalam memastikan daya saing, pematuhan piawaian halal serta kestabilan eksport dapat dikekalkan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri kini sedang meneliti pelbagai langkah bagi memperkukuh ekosistem halal ini di peringkat negeri agar ia selaras dengan peluang yang bakal terhasil melalui pelaksanaan perjanjian ini,” kata beliau.

Jelas Kon Yeow, antara pendekatan yang boleh diberi tumpuan ketika ini termasuk memperkukuh penguatkuasaan serta penjenamaan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di peringkat negeri melalui kerjasama strategik dengan pihak Persekutuan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN