Apa jadi dengan sistem penjurian FFM? - Utusan Malaysia

Apa jadi dengan sistem penjurian FFM?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAKUAN dan perkongsian salah seorang juri Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34, Erma Fatima, mengejutkan orang ramai apabila mendedahkan tidak ada sistem penjurian yang objektif dalam menentukan pemenang anugerah filem yang sepatutnya paling berprestij di Malaysia.

Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57, merupakan salah seorang juri yang bertanggungjawab menentukan pemilihan pemenang FFM edisi ke-34, bersama yang lain iaitu Datuk Mohamed Juhari Shaarani selaku ketua, Datuk Dr. Razak Mohaideen, Shasha Tharan, Indra Che Muda, Genervie Kam Shi Ling, Rosli Mohd Nordin dan Ira Rakiz Tuffile.

Menerusi temu bual di Legasi Podcast: Program Khas Pasca FFM34, Erma mendedahkan pemilihan pemenang Filem Terbaik ditentukan dengan melihat kepada keseluruhan filem termasuklah persoalan yang dicari dalam naskhah tersebut tanpa ada borang atau kriteria yang jelas dalam penjurian.

Kemudian, pada juri akan berdebat, memberi hujah sebelum pengundian dibuat secara konsensus bagi menentukan pemenang.

“Proses memilih lima terbaik (top 5) sudah ada perbahasan. Tapi ia bukan objektif, bermaksud tidak ada borang disediakan, matrik dan kriteria yang perlu diisi. Markah diberikan bedasarkan keseluruhan filem, apa yang dicari dalam filem tersebut.

“Filem Terbaik merangkumi elemen cerita asal, lakon layar, lakonan, kepengarahan, sinematografi, berapa kita beri daripada seratus. Tapi perkara itu tidak ada (borang). Jadi penilaian dibuat dengan melihat keseluruhan setiap sudut untuk diangkat sebagai Filem Terbaik.

“Bagaimanapun, semua juri perlu berdebat sebelum memutuskan. Proses itulah yang boleh merubah keputusan mereka kerana setiap orang mempunyai hujah masing-masing,” katanya dalam program audio siar tersebut.

Malah Erma turut mengatakan penjurian adalah rahsia dan tidak boleh berkongsi mengapa Babah diangkat menjadi Filem Terbaik pada tahun ini menewaskan pesaing yang lain iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz: Game of Live, Takluk: Lahad Datu dan Reversi.

Selain Erma, turut hadir di program tersebut ialah Adlin Aman Ramlie sebagai pemudah cara dan Fauziah Ahmad Daud serta Datuk Saniboey selaku panelis.

Bukan itu sahaja, Erma dalam program berkenaan turut mencadangkan kepada penganjur anugerah iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyemak kembali juri yang diletakkan di dalam kategori tertentu.

Cadangan Erma itu secara tidak langsung seolah-olah membogelkan ketirisan yang ada khususnya membabitkan kredibiliti juri yang diletakan untuk menilai kategori teknikal seperti Lagu Tema Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

“Contohnya lagu terbaik, orang biasa macam saya mungkin dengar lagu berbeza berbanding dengan mereka yang boleh bezakan adakah ia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau adakah lagu itu dibuat dengan komposer sendiri.

“Adalah lebih baik jika penjurian kategori ini diberikan khusus kepada yang faham muzik, bukan pengarah dan pelakon sahaja untuk hakimi.

“Begitu juga dengan sinematografi. Dalam kalangan kami berenam, hanya Indra yang mahir sinematografi, jadi lebih baik jika ada dua atau tiga orang juri yang tahu mengenainya diletakkan dalam kategori utama. Pasti akan ada diskusi yang berbeza,” tambahnya yang turut mengakui ada calon dalam beberapa kategori diletakkan sekadar mencukupi kuota, bukan disebabkan mereka benar-benar bagus.

PENJURIAN MENGARUT, TAK MASUK AKAL

Bagaimanapun, pengarah, Al Jafree Md Yusop yang juga pernah menjadi juri di beberapa festival filem antarabangsa menyifatkan kenyataan yang dikongsikan Erma bahawa tiada penjurian objektif dilakukan untuk FFM sebagai mengarut.

Jelas Al Jafree, perlu ada garis panduan bertulis tentang kriteria yang dinilai dalam sesebuah filem seperti visi pengarah iaitu daya sensitiviti terhadap dunia sekeliling, penciptaan yang merangkumi elemen visual perlambangan dan lain-lain.

“Saya berikan contoh Festival Filem Indonesia (FFI) 2025 baru-baru ini, mereka siap keluarkan katalog menjelaskan kriteria dan alasan mengapa sesebuah filem itu dipilih sebagai pemenang. Malah, mereka turut mempunyai set juri untuk mengadili kategori berbeza termasuklah The Lifetime Achievement Awards.

“Jadi yang kata penjurian rahsia pun mengarut sedangkan di FFI nama juri pun didedahkan lebih awal ketika pengumuman pencalonan dilakukan.

“Mana-mana festival sekalipun, ketua juri akan nyatakan kenapa sesebuah filem dipilih secara terperinci. Jawapan tidak masuk akal jika pilih filem yang menang hanya ikut rasa,” katanya yang pernah menjadi juri di Festival Filem Antarabangsa Malaysia, Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu, Freedom Film Festival dan lain-lain.

Dalam pada itu, Al Jafree berpendapat sudah masanya Finas dipimpin oleh orang yang betul faham dan mempunyai rasa cinta yang tinggi kepada sinema tanah air.

“Persatuan arkitek, presidennya kena arkitek. Kalau perubatan, presiden kena doktor atau yang pakar dalam bidangnya. Jadi Finas ini kadang yang memimpin jurutera, perancangan bandarlah. Kenalah diterajui orang cintakan sinema.

“Contohnya, institusi Cinémathèque Française diterajui pengarah, Costa Gavras yang tidak boleh diragui kewibawaannya. Jadi Finas tidak boleh dipimpin oleh orang yang setakat tahu sinema sahaja, itu sahaja cara kita boleh maju selamanya.

“Lagi satu, ketua juri FFM biarlah lantik orang kita yakini, kalau dia mahu hakimi pementasan teater tak mengapalah. Tapi untuk filem, biarlah seseorang yang pakar dan kredibiliti tidak diragukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN