Sinner buru gelaran 'Sunshine Double'

Sinner buru gelaran ‘Sunshine Double’

Jannik Sinner mara ke pusingan ketiga tenis Terbuka Miami. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI, Amerika Syarikat: Pemain nombor dua dunia, Jannik Sinner dan pilihan kelima Jessica Pegula masing-masing mencatat kemenangan untuk mara ke pusingan ketiga kejohanan ATP dan WTA Terbuka Miami.

Juara bertahan Wimbledon, Sinner menewaskan pemain ranking ke-76 dunia dari Bosnia dan Herzegovina, Damir Dzumhur 6-3, 6-3 di gelanggang keras Florida.

“Perlawanan pusingan pertama tidak pernah mudah, jadi saya sangat gembira dan kita lihat apa yang akan datang,” kata pemain Itali berusia 24 tahun itu.

Beliau seterusnya akan menentang pemain Perancis ranking ke-31 dunia, Corentin Moutet, yang menewaskan Tomas Machac dari Republik Czech 6-0, 1-6, 6-4.

Sinner, juara empat kali Grand Slam dan pemenang Terbuka Miami 2024, meraih gelaran ATP ke-25 dalam kariernya selepas menewaskan Daniil Medvedev di final Indian Wells minggu lalu.

Beliau kini memburu untuk menjadi pemain pertama yang melengkapkan ‘Sunshine Double’ dengan memenangi Terbuka Miami dan Indian Wells sejak Roger Federer pada 2017.

Sinner mendahului 2-0 selepas mematahkan servis Dzumhur yang melakukan kesilapan pukulan backhand, sebelum menguasai set pertama dalam masa 34 minit, termasuk menyelamatkan satu mata ‘break’ dengan servis ace.

Dalam set kedua, Sinner sekali lagi mematahkan servis untuk mendahului 2-1 dan menamatkan perlawanan dengan satu lagi ‘break’ menerusi pukulan backhand pada mata penamat selepas 70 minit, hanya kehilangan lapan mata servis sepanjang perlawanan untuk rekod 14-2 musim ini.

“Saya cuba bermain lebih agresif selepas memperoleh ‘break’ awal. Kadang-kadang ia menjadi, kadang-kadang saya buat beberapa kesilapan sendiri. Saya juga tidak banyak masa untuk menyesuaikan diri di sini kerana keadaannya sangat berbeza berbanding di Indian Wells,” kata Sinner.

Bekas pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev, bermula perlahan tetapi bangkit untuk menewaskan pemain wildcard Jepun berusia 19 tahun, Rei Sakamoto, 6-7 (10/12), 6-3, 6-1 bagi mara ke pusingan ketiga.

Medvedev mengambil masa dua jam empat minit untuk menewaskan Sakamoto, yang baru bermain perlawanan ketujuh di peringkat jelajah dan kali pertama menentang pemain ranking 10 teratas.

Pilihan kesembilan itu menyelamatkan lima mata set dalam set pertama, namun Sakamoto akhirnya memenanginya selepas Medvedev melakukan kesilapan pukulan forehand.

Dalam set kedua, juara Terbuka AS 2021 itu menyelamatkan empat mata ‘break’ sebelum mendahului 4-2 dan memaksa set penentuan, yang dikuasainya sepenuhnya.

Pemain pilihan ketujuh dari Kanada, Felix Auger-Aliassime, turut mara selepas menewaskan Marton Fucsovics dari Hungary 7-6 (7/3), 7-5, dan akan bertemu Terence Atmane dari Perancis di pusingan seterusnya.

Dalam saingan wanita, Jessica Pegula mara ke pusingan ketiga hanya dalam masa 38 minit selepas pemain Britain, Francesca Jones, menarik diri akibat sakit ketika ketinggalan 6-1, 3-0.

“Saya hanya cuba fokus kepada diri sendiri, kekal positif dalam setiap mata,” kata Pegula.

Naib juara tahun lalu itu akan berdepan pemain Kanada pilihan ke-26, Leylah Fernandez, yang menewaskan Oksana Selekhmeteva 7-6 (7/1), 3-6, 6-1 dalam tempoh dua jam 25 minit.

Sementara itu, pemain Jepun pilihan ke-14, Naomi Osaka, tersingkir selepas tewas kepada pemain kelayakan Australia, Talia Gibson, 7-5, 6-4.

Gibson, yang pertama kali mara ke suku akhir WTA di Indian Wells, akan bertemu pemain muda Amerika berusia 18 tahun, Iva Jovic, yang menewaskan Paula Badosa dari Sepanyol 6-2, 6-1 dalam masa 76 minit. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×