Anwar tidak tahu KJ terlibat rombakan Kabinet

Anwar tidak tahu KJ terlibat rombakan Kabinet

ANWAR Ibrahim pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkejut apabila ditanya berhubung spekulasi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bakal menyertai Kabinetnya tidak lama lagi.

“Ye ke, siapa beritahu,” ba­­lasnya ringkas sambil tersenyum.

Media sebelum ini melapor­kan kemungkinan rombakan Kabinet pada awal Disember susulan kekosongan beberapa kerusi menteri, termasuk spekulasi Khairy bakal dilantik Menteri Alam Sekitar dan Air, manakala Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka menerajui Kementerian Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri.

Reaksi itu diberikan selepas beliau disoal wartawan pada program Simposium Pemba­ngunan dan Anugerah Pemba­ngunan Negara (SPAPN) 2025 di sini semalam.

Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio dan dilaporkan mendapat restu pimpinan tertinggi UMNO, termasuk Pre­siden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali menyertai parti itu. Difahamkan, beliau menyatakan hasrat secara tidak rasmi pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini. Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 selepas mengkritik ke­pimpinan tertinggi parti semasa PRU15 dan tewas di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Sementara itu dalam ucaptama SPAPN 2025, Anwar me­ngakui tidak mudah menawan hati penjawat awam selepas mengambil alih kerajaan pada 2022. Beliau berkata, ramai kakitangan ragu-ragu kerana sebelum ini barisan Jemaah Menteri adalah daripada pihak pembangkang. “Tapi kita sabar, berbincang, tunjuk kasih dan kesungguhan… Alhamdulillah, perubahan positif kini jelas kelihatan,” katanya.

Beliau kini tambah yakin bila melihat perubahan positif dalam kalangan penjawat awam sejak dua tahun kebelakangan ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan itu sehingga negara kekal aman, politik stabil dan bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh.

“Saya bukan nak sebut ini depan Ketua Setiausaha Negara dan rakan-rakan, tetapi saya bangga bekerja dengan pasukan penjawat awam.

“Kesungguhan mereka sudah menjadikan keluarga dan negara kita sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Jadi, daripada lubuk hati saya, saya datang hari ini untuk me­ngatakan terima kasih kepada semua,” katanya.

Pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini semalam, Anwar mengingatkan tidak terlalu selesa dengan pencapaian ekonomi semasa, sebaliknya kekal berwaspada dan berdisiplin dalam mengurus kejayaan negara.

Menurutnya, sejarah membuktikan tiada negara mampu bertahan lama apabila dilanda kealpaan serta rasa terlalu selesa hingga mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan negara.

“Kita ini makhluk kerdil. Jabatan atau kedudukan yang dipegang hanyalah amanah sementara. Laksanakan de­ngan sebaik mungkin, sama ada ketua unit, ketua jabatan atau Perdana Menteri sekali pun, semuanya tidak kekal,” katanya.

Malaysia kini mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan termasuk prestasi ringgit terbaik di Asia, kadar pengangguran terendah dalam tempoh 10 tahun serta jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.

“Negara kecil seperti Malaysia bila meningkat maju tentu menjadi perhatian. Namun, kita perlu berwaspada terhadap sikap iri hati dan permusuhan luar di sebalik kejayaan yang sedang dikecapi,” katanya.

Katanya, kemajuan dan kestabilan yang dinikmati negara tidak boleh dianggap enteng kerana banyak negara lain de­ngan kepelbagaian kaum dan agama berdepan ketegangan serta ketidaktentuan.

Anwar menekankan pentingnya kestabilan politik dan tata kelola baik demi kesejahteraan rakyat, sambil mengingatkan ahli politik supaya tidak menjadikan kaum, negeri atau parti sebagai asas perjua­ngan sempit.

“Kalau kita urus dengan baik, manfaat kepada rakyat akan jauh lebih besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN