Alliance Bank catat untung bersih RM206.6 juta pada suku kedua - Utusan Malaysia

Alliance Bank catat untung bersih RM206.6 juta pada suku kedua

ALLIANCE BANK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Alliance Bank Malaysia Berhad meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM206.6 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2025, meningkat berbanding RM189.9 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Hasil meningkat 3.4 peratus kepada RM626.2 juta, mencerminkan momentum berterusan merentasi segmen utama.

Selain itu, bank itu menunjukkan pertumbuhan kukuh 10.6 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan bersih selepas cukai kepada RM405.3 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM366.6 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan berterusan dalam pinjaman serta pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi, mencerminkan fokus berterusan bank untuk memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang saham.

Hasil bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 meningkat 8.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.24 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, prestasi separuh pertama menunjukkan kekuatan model perniagaan yang pelbagai dan pelaksanaan berdisiplin terhadap keutamaan strategi syarikat.

“Kami mencapai pertumbuhan pendapatan yang kukuh, didorong oleh pengembangan pinjaman yang mantap dan pendapatan berasaskan yuran yang lebih tinggi. Hasil ini menonjolkan ketahanan francais kami dan mengukuhkan keupayaan kami untuk menyampaikan pertumbuhan mampan merentasi segmen pelanggan utama,” katanya.

Bagi separuh pertama kewangan 2026, pendapatan faedah bersih Bank meningkat 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM993.9 juta, disokong oleh jumlah pinjaman lebih tinggi merentasi beberapa segmen, manakala margin faedah bersih (NIM) berada pada 2.37 peratus, dalam julat panduan.

Pendapatan bukan faedah berkembang 30.7 peratus tahun ke tahun kepada RM247.6 juta, disumbangkan oleh jualan pertukaran asing dan yuran perdagangan yang lebih kukuh, yuran perkhidmatan perbankan lebih tinggi serta peningkatan pendapatan perbendaharaan dan pelaburan.

Nisbah kos kepada hasil (CIR) Bank kekal sihat pada 46.4 peratus berbanding separuh pertama kewangan 2025: 46.5 peratus, mencerminkan pelaburan berterusan dalam teknologi dan infrastruktur digital seiring dengan pengurusan perbelanjaan yang berhemat.

Momentum pinjaman keseluruhan Alliance Bank terus kukuh dengan pertumbuhan 8.1 peratus tahun ke tahun, didorong oleh perkembangan menyeluruh merentas semua segmen perniagaan.

Pinjaman perumahan meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun, pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkat 7.2 peratus, pinjaman komersial berkembang 11.6 peratus, manakala pinjaman pengguna lain meningkat 7.4 peratus, disokong oleh permintaan kukuh dalam kad kredit dan pembiayaan margin saham.

Deposit pelanggan mengukuh 12.5 peratus tahun ke tahun, disokong oleh peningkatan 19.9 peratus dalam deposit tetap dan 7.7 peratus dalam deposit CASA, mengekalkan salah satu nisbah CASA tertinggi dalam industri pada 39.1 peratus.

Kos kredit bersih Bank berada pada 23.2 mata asas, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bertambah baik kepada 1.91 peratus berbanding 2.02 peratus tahun lalu).

Alliance Bank mengekalkan kedudukan modal dan kecairan yang kukuh, diperkukuh lagi oleh kejayaan penyelesaian terbitan hak pada Julai 2025.

Nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) bank meningkat kepada 13.6 peratus separuh pertama kewangan 2025, 12.4 peratus manakala nisbah modal keseluruhan meningkat kepada 18.2 peratus berbanding separuh pertama kewangan 2025: 17.1 peratus.

Kecairan juga kekal teguh, dengan Nisbah Perlindungan Kecairan (LCR) sebanyak 160.2 peratus, industri: 151.5 peratus dan Nisbah Pinjaman kepada Dana (LFR) sebanyak 87.3 peratus , industri: 82.6 peratus.

Dividen interim pertama sebanyak 9.37 sen sesaham dicadangkan bagi separuh pertama kewangan 2026.

Ini diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen sebanyak 40 peratus, selaras dengan panduan pembayaran dividen Bank antara 40 peratus hingga 50 peratus.

Berdasarkan harga saham RM4.41 pada 14 November 2025, Alliance Bank mencatatkan pulangan jumlah pemegang saham sebanyak 124 peratus dalam tempoh lima tahun dan 39 peratus dalam tempoh tiga tahun, mencerminkan keupayaannya untuk memberikan prestasi konsisten melalui pelaksanaan berdisiplin dan fokus terhadap pertumbuhan mampan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini