KUALA NERUS: Sembilan sahabat baik lelaki membuktikan kerjaya kejururawatan bukan hanya dimonopoli golongan wanita apabila mereka sama-sama menamatkan pengajian dalam Diploma Sains Kejururawatan dan diraikan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-17, di sini semalam.
Mereka ialah Afif Harizuddin Alif Ashrab Ali, Ahmad Faris Nukman Fauzi, Ahmad Nu’man Ahmad Nazari, Farhan Norhishamuddin, Muhammad Adli Nadzrin Jasmi, Muhammad Akmal Ismail, Muhammad Faiz Harith Sidek, Muhammad Ismail Adham Zainal Abidin dan Muhammad Syafiq Aiman Aldi.
Berkongsi pengalaman, Ahmad Faris, 21, berkata, menjadi pelajar jururawat lelaki bukan sesuatu yang mudah kerana mereka perlu berdepan pelbagai tanggapan awal masyarakat yang menganggap bidang itu hanya untuk wanita.
“Pada awalnya memang ada rasa segan sebab ramai pesakit dan jururawat wanita tteapi bila lama-lama, kami sedar kerja ini bukan soal jantina. Ia tentang tanggungjawab, empati dan keikhlasan untuk membantu orang lain,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen itu
Katanya, persepsi terhadap jururawat lelaki juga semakin berubah apabila orang ramai mula melihat keperluan tenaga fizikal dan ketahanan mental yang tinggi dalam bidang tersebut.
“Ramai yang masih stereotaip kononnya jururawat mesti wanita namun hakikatnya lelaki pun diperlukan dalam situasi tertentu seperti mengangkat pesakit, mengawal emosi dalam kecemasan dan membantu tugas yang berat di wad. Dunia kejururawatan hari ini lebih terbuka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nu’man berkata, pengalaman menjalani latihan praktikal di hospital memberi banyak pengajaran terutama dari segi kemahiran berkomunikasi dan keupayaan mengawal emosi ketika berdepan pesakit pelbagai latar belakang.
“Kadangkala pesakit lelaki lebih selesa bercerita dengan jururawat lelaki. Dari situ kami nampak pentingnya keseimbangan jantina dalam bidang ini supaya rawatan lebih menyeluruh dan mesra pesakit,” ujarnya.
Menurutnya, menjadi jururawat lelaki juga menuntut kesabaran dan disiplin tinggi kerana perlu sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental terutama ketika berhadapan situasi kecemasan.
“Kerja jururawat ni bukan sekadar ikut arahan doktor tapi kami juga kena cepat bertindak, tenangkan pesakit, urus prosedur dan pastikan semua berjalan lancar. Ia satu pengalaman yang betul-betul mendewasakan,” katanya.-UTUSAN










