428,000 guru capai sebanyak 100 % baucar buku guru MADANI

428,000 guru capai sebanyak 100 peratus penebusan baucar buku guru MADANI

Adibah Omar (tengah) dan warga PKB meraikan pencapaian 100% penebusan Baucar Buku Guru Madani di Cyberjaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebuah sekolah di Baling, Kedah, seorang guru tersenyum puas sebaik sahaja menerima bungkusan buku yang ditempah melalui portal Book Capital.

“Inilah buku yang saya tunggu,” katanya, sambil membelek naskhah baharu yang akan dijadikan sebagai bahan rujukan pengajaran.

Ungkapan ringkas itu melambangkan sesuatu yang lebih besar, iaitu semangat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat yang kini semakin subur dalam kalangan guru Malaysia.

Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila sebanyak 428,027 guru di seluruh negara menebus baucar mereka sepenuhnya menjelang 31 Oktober lalu, sekali gus mencapai 100 peratus penebusan.

Program ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 dan dilaksanakan bawah Kementerian Pendidikan dengan Perbadanan Kota Buku (PKB) sebagai agensi pelaksana melalui portal Book Capital (mall.bookcapital.com.my).

Setiap guru menerima e-baucar bernilai RM100 bagi pembelian bahan bacaan profesional, akademik, umum, dan lain-lain.

Lebih membanggakan, peratusan pembelian meningkat kepada 99.74 peratus, berbanding dengan 89 peratus pada tahun sebelumnya semasa pelaksanaan Baucar Buku MADANI 2024 yang diberikan kepada 3.5 juta pelajar Kementerian Penddikan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar, kejayaan tersebut mencerminkan keberkesanan sistem digital dan sokongan pelbagai pihak, termasuk penerbit tempatan yang menjadi tonggak industri buku negara.

Beliau berkata, bahawa Book Capital itu bukan sekadar platform e-dagang, malah menjadi “hab digital ilmu nasional” yang mempertemukan guru, penerbit, dan pembaca di bawah satu ekosistem literasi.

 

“KEJAYAAN BAUCAR BUKU GURU MADANI 2025 DALAM ANGKA”

Komponen                                                 Capaian

Jumlah Guru                                         428,027 orang

Kadar Penebusan                                      100 peratus

Peratus Pembelian                                       99.74%

Jumlah Naskhah Buku                           1,546,562 naskhah

Judul Buku                                                  238,186 judul

Penerbit & Penjual                             670 penjual/penerbit tempatan

Buku Terlaris                          AI GURU Siri 2: Rahsia PdP Lebih Hebat dan Meyakinkan (Dr. Ihsan Ismail

dan Abd Rahman Ali Bashah) terbitan Blink Book

 

“Kejayaan ini membuktikan Malaysia mampu menjadi negara membaca yang berasaskan teknologi, bukan sekadar bergantung pada tradisi fizikal,” ujarnya.

Bagi seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bulit Kallam, Labuan Roszita Asma’ Abd Rahman,program tersebut memberikan impak besar terhadap pengajaran di luar bandar.

“Sebagai guru luar bandar, saya gembira kerana dapat membeli buku profesional terkini tanpa perlu ke bandar. Program ini benar-benar membantu kami berkembang,” ujarnya.

Bagi ramai guru sepertinya, setiap baucar yang ditebus bukan hanya pembelian, tetapi pelaburan terhadap ilmu dan kualiti pendidikan anak bangsa.

PKB turut menyatakan penghargaan kepada KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, dan Pejabat Pendidikan Daerah atas dedikasi menjayakan program tersebut.

“Kejayaan ini adalah permulaan kepada gerakan literasi nasional yang lebih besar iaitu setiap guru menjadi duta ilmu, dan setiap buku menjadi jambatan kepada masyarakat MADANI yang berpengetahuan,” ujar Adibah lagi. Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 membuktikan bahawa ekonomi ilmu bukan sekadar konsep, tetapi realiti yang membina bangsa.

Dari Cyberjaya sehingga ke sekolah pedalaman, buku kini kembali menjadi simbol maruah, cinta ilmu, dan kemajuan bangsa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN