MARAN: Penantian lebih 40 tahun penduduk di sepanjang laluan dari Kampung Orang Asli Sungai Bangkong ke Kampung Kuala Sentol di sini untuk menikmati kemudahan jalan dua hala yang sempurna belum menjadi kenyataan.
Hanya lokasi sepanjang kira-kira 25 kilometer (km) itu belum dinaik taraf dua hala sedangkan laluan lain dari Simpang Maran-Jerantut melalui Kampung Orang Asli Batu 55 sudah siap sejak 20 tahun lalu.
Penduduk Felda Jengka Satu, Abdillah Che Ani, 70, berkata, laluan itu adalah jalan utama yang menghubungkan kampung-kampung ke Pekan Sungai Jerik dan seterusnya ke Maran atau Jerantut.
“Kami sudah terlalu lama menunggu. Jalan inilah nadi utama penduduk sejak berpuluh tahun lalu. Ia penting untuk ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, bukan sahaja bagi penduduk Felda tetapi juga kampung-kampung Orang Asli di sepanjang laluan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Segmen dari Bandar Jerantut ke Felda Sungai Tekam sudah siap sepenuhnya, begitu juga laluan dari Simpang Maran hingga ke Batu 55 yang beroperasi sejak dua dekad lalu.
Namun, bahagian yang merentasi Kampung Orang Asli Sungai Bangkong, Kampung Perak, Sungai Jerik, Kampung Baru, Kampung Jara dan berakhir di Kampung Kuala Sentol belum dinaik taraf hingga kini.
Timbul kebimbangan penduduk apabila wujud beberapa struktur dan binaan kekal tanpa kebenaran di sepanjang laluan yang dikhuatiri bakal menjejaskan pelaksanaan projek sekiranya ia disambung semula kelak.
Antara yang menjadi perhatian ialah kewujudan rumah ibadat yang dibina di tepi jalan dan didakwa tidak mempunyai kelulusan.
Abdillah berkata, sebelum ini peniaga dan penduduk di Pekan Sungai Jerik pernah diarahkan berpindah kira-kira 30 tahun lalu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf jalan, namun projek tersebut tidak pernah dimulakan.
Penduduk Ladang Guthrie, Zainan Ahmad, 58, pula berharap pihak berkuasa tidak membiarkan isu-isu seperti kewujudan rumah ibadat tanpa geran menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek.
“Projek jalan ini bukan untuk mana-mana pihak tertentu, tapi untuk semua rakyat. Kerajaan perlu tegas supaya tidak ada sesiapa membina bangunan kekal di atas tanah rizab jalan,” katanya.
Sementara itu, peniaga di Pekan Sungai Jerik, Wong Ah Kaw, 57, berkata, penduduk berharap projek jalan itu dapat disambung segera kerana ia akan mengubah ekonomi setempat.
“Dulu kami semua sudah berpindah kerana dimaklumkan projek akan dijalankan. Tetapi sampai sekarang tiada apa-apa. Kami tidak mahu lagi melihat projek ini tergendala hanya kerana ada bangunan haram di tepi jalan,” katanya. – UTUSAN









