Fosil dinosaur berusia 210 juta tahun ditemukan di Zimbabwe

Fosil dinosaur berusia 210 juta tahun ditemukan di Zimbabwe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARARE: Penemuan spesies dinosaur baharu di Zimbabwe memberikan petunjuk baharu berhubung cara haiwan purba itu berkembang dan mempelbagaikan spesiesnya.

Menurut saintis, ia sekali gus menunjukkan haiwan berkenaan pernah berada di pelbagai ekosistem berbeza di selatan Afrika.

Penemuan spesies baharu yang dinamakan Musango matusadonaensis itu berasaskan daripada rangka yang digali di pesisir Tasik Kariba di utara Zimbabwe pada 2018 dan menjadi dinosaur kelima yang berjaya dikenal pasti di negara berkenaan.

Pasukan saintis paleontologi antarabangsa di sebalik penemuan itu mengesahkan spesies tersebut hidup kira-kira 210 juta tahun lalu pada Zaman Trias Lewat iaitu ketika dinosaur mula berkembang ke seluruh pelosok bumi tetapi belum lagi menjadi haiwan darat yang dominan.

Berbeza dengan dinosaur gergasi berleher panjang yang berevolusi jutaan tahun kemudian, Musango mempunyai binaan fizikal yang agak ringan, dengan panjang kira-kira 4.5 meter dan berat dianggarkan 222 kilogram iaitu hampir menyamai berat seekor babi dewasa.

Spesies ini dinamakan sempena perkataan bahasa tempatan Shona iaitu ‘musango’ yang bermaksud hidup di dalam semak.

“Sehingga baru-baru ini, dipercayai dinosaur yang hidup di seluruh selatan Afrika secara amnya adalah daripada spesies yang sama,” kata Paul Barrett, penyelidik di Muzium Sejarah Semula Jadi di London.

Barret berkata, penemuan ini menunjukkan rantau berkenaan sebaliknya terdiri daripada beberapa ekosistem yang berbeza di mana setiap daripadanya menjadi habitat kepada spesies dinosaur yang berlainan.

“Ini memberi bayangan apa yang kita temui setakat ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan rahsia purba yang belum terungkai,” katanya.

Dapatan kajian pasukannya itu diterbitkan dalam Journal of Systematic Palaeontology. Fosil berkenaan merupakan antara rangka dinosaur paling lengkap dari zamannya yang pernah ditemui di Zimbabwe dengan tulang belakang, rusuk, tangan, kaki dan tulang tapak kaki yang masih terpelihara dengan baik.

Para penyelidik menganggarkan Musango berusia kira-kira lapan tahun dan hampir mencapai saiz matang sepenuhnya ketika ia mati.

Pemeriksaan pada tulang turut menunjukkan haiwan itu pernah sembuh daripada kecederaan parah atau jangkitan kuman.

Meskipun tulang tengkoraknya belum ditemui, para penyelidik percaya Musango berkemungkinan merupakan haiwan herbivor pemakan tumbuhan atau omnivor yang makan tumbuh-tumbuhan di sepanjang sungai dan anak air.

Pada 2022, saintis di Zimbabwe turut merungkai penemuan sisa fosil dinosaur tertua di Afrika yang pernah berkeliaran di muka bumi kira-kira 230 juta tahun lalu.

Dinosaur yang dinamakan Mbiresaurus raathi itu hanya berukuran kira-kira satu meter tinggi, mempunyai ekor yang panjang dan berat mencapai sehingga 30 kilogram. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN